Anak Terengganu Wakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Korea Selatan
DUNGUN, 22 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyantuni dan meraikan kejayaan Mohamad Armin Zahryl, atlet olahraga Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang bakal menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.
Menurut Hishamuddin, Armin, anak jati Dungun, dipilih menyertai Kejohanan Olahraga Asia ke-26 (26th Asian Athletics Championship) yang akan berlangsung di Gumi, Korea Selatan dari 27 hingga 31 Mei 2025.
"Beliau akan menyertai kontinjen Malaysia bersama beberapa lagi atlet dari Terengganu, termasuk Azreen Nabila Alias dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira," katanya selepas majlis ziarah terbabit.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, serta barisan kepimpinan dari Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) termasuk Setiausaha Kehormat, Kama Rezuan Kamaruddin dan Pengarah Kejurulatihan, Zaki Sadri.
Ujar Hishamuddin, minat mendalam Armin terhadap sukan olahraga bermula sejak zaman persekolahan lagi memberinya motivasi untuk terus melakar pencapaian membanggakan.
"Dengan semangat juang dan latihan konsisten, beliau berjaya mencuri tumpuan apabila menyumbang pingat emas buat Terengganu dalam SUKMA Sarawak XXL 2024," jelas Hishamuddin.
Seluruh warga Terengganu dan rakyat Malaysia pastinya mendoakan kejayaan Armin dan rakan-rakan atlet negara dalam misi mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.