Jalur Gemilang
Berita :
Anugerah Bukan Untuk Dibanggakan, Tetapi Amanah Teruskan Dakwah – Noorzila
Anugerah Bukan Untuk Dibanggakan, Tetapi Amanah Teruskan Dakwah – Noorzila
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
102

KUALA TERENGGANU, 20 September- Pengiktirafan sebagai Ikon Pendakwah Muslimah bukan untuk dibanggakan, sebaliknya dilihat sebagai amanah untuk terus menyampaikan dakwah, mendidik serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Ikon Pendakwah Muslimah, Ustazah Noorzila Mohamad berkata, penghargaan itu diterima dengan rasa terharu, namun pada masa sama menyedarkannya mengenai tanggungjawab lebih besar yang perlu dipikul.

“Anugerah ini bukanlah untuk dibanggakan, tetapi sebagai tanggungjawab untuk terus menyampaikan dakwah, mendidik dan memberi manfaat kepada masyarakat yang sangat memerlukan perkongsian ilmu,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, perjalanan dakwah bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pengorbanan dari segi jiwa, masa, tenaga serta komitmen yang tinggi bagi memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata, tugas menyampaikan dakwah juga bukan kerana merasakan diri lebih hebat, sebaliknya segala usaha itu terlaksana dengan izin dan pertolongan Allah SWT.

“Semoga penghargaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus istiqamah dalam menyampaikan kebaikan, mendekati masyarakat dan mengajak mereka dengan penuh hikmah serta kasih sayang,” ujarnya.

Noorzila turut menegaskan kepentingan untuk terus menimba ilmu sebagai bekalan kepada seseorang yang terlibat dalam usaha menyebarkan ilmu kepada masyarakat.

Katanya, proses berdakwah bukan sekadar menyampaikan ilmu kepada orang lain, malah pada masa sama mendidik diri sendiri supaya terus meningkatkan pengetahuan dan kefahaman.

Sementara itu, seramai lapan penerima daripada pelbagai kategori menerima anugerah pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan Asatizah Terengganu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam.

Antara penerima ialah Tuan Guru  Mohd Suhaimi Daud bagi kategori Tokoh Tok Guru Pondok, manakala Ustaz Ahmad Tirmizi Taha menerima penghargaan sebagai Tokoh Ilmuan Dakwah.

Turut menerima pengiktirafan ialah Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah  Hussin bagi kategori Ikon Pena Dakwah dan Ustaz Zul Amali Muhd Noor sebagai Ikon Pendakwah Muda.

Bagi kategori Ikon Pendakwah Muslimah pula, penghargaan diberikan kepada Ustazah Norzila Mohd, manakala Ustaz Mahadi Mohammad menerima anugerah Ikon Dakwah Digital.

Selain itu, penerima lain ialah Ustaz Abdul Hadi Che Abd Halim bagi kategori Ikon Qudwah Al-Quran dan Ustaz Mod Khusairi Saleh sebagai Ikon Celik Faraidh.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan