Apa Khabar Agaknya Insentif SUKMA Terengganu?

KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Sejak berakhirnya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, tiada kedengaran apa-apa perkembangan tentang insentif dan imbuhan kepada atlet-atlet yang berjaya meraih kejayaan ketika itu.

Sekalipun menduduki tempat kelima, kontinjen Terengganu meraih keseluruhan 124 pingat dengan 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa pada temasya itu.

Adapun, Para SUKMA menduduki tempat kesembilan dengan meraih 10 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa.

Itu antara suara-suara yang muncul di media sosial bagi menimbulkan persepsi negatuf terhadal industri sukan Terengganu.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, baru-baru ini memaklumkan, kerajaan Terengganu telah meluluskan pembayaran insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat dalam temasya berkenaan.

Menurutnya, proses pengagihan insentif telah pun disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Alhamdulillah, berita baiknya kerajaan negeri telah meluluskan pembayaran insentif bukan sahaja untuk atlet SUKMA tetapi juga buat atlet Para SUKMA.

“Ini satu pakej yang bersekali, di mana atlet Para SUKMA akan menerima jumlah insentif yang sama dengan atlet SUKMA.

"Namun, beberapa proses pentadbiran perlu dilaksanakan sebelum keputusan akhir dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya sekali gus menangkis tohmahan liar.

Tambahnya, majlis rasmi penyampaian insentif bakal diadakan dalam masa terdekat, namun jumlah bayaran yang akan diberikan akan diumumkan kemudian berikutan dianggarkan kira-kira 500 atlet bakal menerima manfaat tersebut.

Walaupun Terengganu tidak muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2024, kerajaan negeri masih mengekalkan formula pembayaran insentif yang telah diguna pakai sebelum ini.

Sebagai rekod, MSNT telah menetapkan pembayaran insentif sebanyak RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 bagi pemenang perak dan RM1,000 untuk gangsa. Manakala, sebarang tambahan imbuhan diputuskan berdasarkan pencapaian semasa kontinjen dalam SUKMA.

Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk menghargai pencapaian atlet tempatan serta memberi dorongan kepada mereka untuk terus cemerlang dalam bidang sukan.