• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Atlet Terengganu ke Sukan Komanwel 2022 Diraikan

BIRMINGHAM,3 Ogos – Seramai 4 orang atlet negeri Terengganu yang berjaya mewakili negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 telah disantuni oleh delegasi kerajaan negeri Terengganu di Birmingham, United Kingdom. 

Keempat-empat atlet terbabit ialah Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam (gimnastik), Muhamad Idham Amin Ramlan (lawn bowls), Arvin Shaun Singh Chanal (renang) dan Muhammad Atib Zakaria (sukan para bola keranjang). 

Untuk rekod, 72 buah negara dan wilayah telah mengambil bahagian pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Malaysia telah menghantar seramai 104 orang atlet.

Delegasi kerajaan negeri Terengganu yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut disertai timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Nasree Najmi serta kakitangan MSNT.

Menurut Wan Sukairi, lawatan tersebut diadakan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada atlet Malaysia khususnya dari Terengganu di Sukan Komanwel 2022.

“Sepanjang disana, saya telah menyantuni kesemua atlet Terengganu yang mewakili negara bagi memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada mereka agar dapat memberikan persembahan yang terbaik dalam pertandingan yang disertai.

“Keempat-empat atlet yang mewakili negara ini juga telah menerima Insentif Skim Wakili Negara (SWARA) berjumlah RM 1,500 setiap orang," katanya.

Tambah beliau, setiap atlet yang berjaya mendapat pingat juga akan diberikan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) dan akan diraikan dalam satu majlis oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu seperti sebelum ini.

Beliau yang turut mengadakan lawatan ke perkampungan atlet Sukan Komanwel 2022 di University of Birmingham berkata, lawatan berkenaan adalah satu bukti keperihatinan dan juga kecaknaan kerajaan negeri terhadap kebajikan atlet Terengganu yang berjaya mewakili negara dalam acara berprestij sebegini.

Jelasnya, kerajaan negeri berharap agar atlet-atlet Terengganu yang sedang meningkat naik dapat mencontohi kejayaan atlet-atlet yang telah berjaya mewakili negara ke acara sukan bertaraf antarabangsa.

Mengulas lanjut, beliau serta delegasi turut menghadiri acara perasmian penuh gilang gemilang Sukan Komanwel 2022 yang disempurnakan oleh Prince of Wales Putera Charles pada 28 Julai lalu di Stadium Alexander, Perry Bar.

Sementara itu, atlet gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam berkata, beliau amat bergembira dan teruja dengan kehadiran delegasi kerajaan negeri yang dapat memberi semangat kepada beliau dan atlet Terengganu yang lain.

 


Tag: