• 04 Dis 2022 | 10 Jamadil Awal 1444

Bagaimana Rasuah Menjadikan Negara Miskin?

Menurut kajian, budaya korupsi mengurangkan jumlah pelaburan langsung asing masuk ke dalam sesebuah negara. Pelabur asing bukan sahaja melihat kepada Indeks Persepsi Rasuah tetapi juga melihat kepada sistem negara tersebut membendung rasuah.

Rasuah yang berlaku daripada peringkat tertinggi hingga paling bawah dan berakar umbi di kalangan awam dan swasta mengakibatkan hilang keyakinan pelabur terhadap integriti ekonomi negara.

Bagi kebanyakan negara korup, badan kehakiman mereka terbatas dan direndahkan kuasanya kerana mendapat tekanan yang kuat daripada orang politik.

Mahkamah anti rasuah khas adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah rasuah terutama negara yang mendapat tekanan dan campur tangan politik dalam sistem kehakiman.

Ada sesetengah negara menubuhkan bahagian anti rasuah khas sebagai sebahagian daripada sistem mahkamah mereka. Manakala bagi sesetengah negara lain mereka mewujudkan sebuah sistem baru yang terpisah daripada kehakiman sedia ada.

Dalam kajian ini, negara yang mempunyai ‘Compressive Parallel Court’ mempunyai hubung kait yang lebih positif dengan jumlah pelaburan asing berbanding negara yang menggunakan sistem ‘First Instance Court’ dan ‘Hybrid Court’.

Compressive Parallel Court dibentuk dengan mewujudkan sebuah mahkamah perbicaraan anti rasuah dan mahkamah rayuan anti rasuah di bawah satu sistem mahkamah anti rasuah.

‘First Instance Court’ dan ‘Hybrid Court’ pula tidak melibatkan mahkamah perbicaraan dan mahkamah rayuan di bawah satu sistem yang sama.

Penting bagi sesebuah negara untuk menjadikan mahkamah anti rasuah sebagai satu sistem lain yang terpisah dengan sistem mahkamah sedia ada.

Pelabur asing sangat memberi tumpuan kepada pemisahan institusi ini kerana mereka tidak yakin kepada integriti dan keupayaan sistem mahkamah sedia ada dalam negara yang korup.

Kewujudan mahkamah khas anti rasuah ini juga perlu ditambah baik dengan pelan anti rasuah yang lebih berkesan pada zaman sekarang.

Antara yang perlu diberi penekanan adalah dengan memperkasa penggunaan teknologi dalam sistem mahkamah anti rasuah.

Organisasi yang menerapkan penggunaan teknologi terkini dan memastikan jejak audit yang selamat akan lebih dipercayai dan diyakini oleh pelanggan/pengguna.

Teknologi bukan sahaja memudahkan capaian maklumat, malah menggalakkan ketelusan dan keterbukaan yang menyumbang kepada lapangan persaingan yang adil dan saksama.

Sekiranya kewujudan mahkamah khas anti rasuah ini dapat direalisasikan oleh sebuah kerajaan yang bersih dan stabil, Malaysia akan menjadi negara tumpuan pelabur kerana integriti dan komitmen kerajaan menghapuskan budaya rasuah dalam negara.

Wan Rohimi Wan Daud,
Lujnah Undang-Undang Dan Hak Asasi (LUHAM).


Tag: