• 25 Sept 2023 | 10 Rabiul Awal 1445

Bangunkan Negeri Atas Prinsip Islam

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 29 April – Kemajuan dalam sesebuah negeri wajar berpandukan prinsip agama Islam yang jelas supaya segala aspek seperti pengurusan pemerintahan dijalankan dengan sempurna.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, kepentingannya dalam memajukan negeri di pelbagai sektor sesuai dengan tema 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'. 

“Perlu diingatkan bahawa kemajuan dibina itu mesti ada prinsip nyata supaya apabila kita uruskan pemerintahan dengan baik, isu pembaziran, penyelewengan dan perkara yang bercanggah dengan syariat dapat dielakkan.

“Apa yang kita harapkan adalah nilai keberkatan dapat diwujudkan daripada prinsip dan tema tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Radio Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.

Kata Yahaya, teras agama hendaklah diamalkan oleh segala lapisan masyarakat termasuk pemerintah agar mendapat keredhaan Allah SWT. 

“Sebab itu dalam soal pembangunan sesebuah negara ada ulama-ulama menyebutkan beberapa perkara mesti ada kalau kita nak masyarakat sejahtera. 

“Yang pertama mesti ada pemimpin yang adil, bertanggunjawab, berusaha melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dengan melaksanakan apa yang diperintahkan.

“Yang kedua mesti ada ulama yang sentiasa memberi peringatan kepada masyarakat supaya rakyat sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam,” ujar beliau.

Beliau menambah, kesejahteraan akan wujud apabila ada kesedaran dalam kalangan ‘orang yang berada’, memanfaatkan harta dimiliki untuk tanggungjawab sosial serta membantu golongan kurang berkemampuan.


Tag: