• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Banjir Kepala Air' Di Air Putih

KEMAMAN, 30 November - Banjir yang melanda Kampung Air Putih dan sekitarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dikatakan sebagai 'banjir kepala air' kerana ianya naik secara mendadak selepas hujan lebat seharian baru-baru ini.

Seorang mangsa yang ditemui, Abdulmin Ambing, 49, memberitahu, air bercampur lumpur yang naik secara tiba-tiba membuatkan beliau dan keluarganya tergamam.

"Air mengalir dengan laju dan memenuhi ruang dapur dengan cepat sekali.

"Keadaan menjadi kelam kabut, saya dan keluarga terus keluar dari rumah dan pergi ke tempat yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri.

"Nasib baik ianya berlaku pada siang hari kalau malam hari tak tahu lah macam mana," katanya.

Abdulmin Ambing.

Abdulmin berkongsi pengalamannya ketika ditemui oleh Urusetia Penerangan Darul Iman di Kampung Air Putih kelmarin.

Sehingga kini hanya tinggal lima orang mangsa banjir daripada jumlah keseluruhan iaitu 1,380 orang mangsa di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kelmarin yang masih tidak dibenarkan pulang iaitu di PPS Kampung Pasir Gajah di atas faktor keselamatan.

Operasi pembersihan rumah yang terkesan melibatkan kira-kira 300 buah rumah mangsa sedang giat dijalankan dengan bantuan agensi kerajaan iaitu bomba, Anggota Penyelamat Malaysia (APAM), Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari Jabatan Amal Kemaman.