lightning-solid
Berita :
Banjir Terengganu Memburuk, Lebih 5,000 Mangsa Dipindahkan
Banjir Terengganu Memburuk, Lebih 5,000 Mangsa Dipindahkan
Mastura Jamal Din
28 Nov 25
450

KUALA TERENGGANU, 28 November – Situasi banjir di Terengganu terus memburuk apabila Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dinaiki air, sekali gus meningkatkan jumlah mangsa yang dipindahkan melebihi 5,000 orang.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sehingga pukul 2 petang Jumaat, seramai 5,179 mangsa daripada 1,592 keluarga ditempatkan di 74 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah seluruh negeri.

Daerah Kemaman mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 1,703 orang daripada 437 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS. Ia diikuti Marang yang merekodkan 1,642 mangsa daripada 420 keluarga di sembilan PPS.

Setiu pula menjadi daerah ketiga terjejas teruk apabila seramai 1,073 mangsa daripada 315 keluarga dipindahkan ke 24 PPS yang beroperasi di kawasan berkenaan.

Turut terkesan ialah Dungun (409 mangsa), Kuala Terengganu (377), Kuala Nerus (301), Hulu Terengganu (140) serta Besut (74) yang masing-masing mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, trend paras air ketika ini berada pada tahap menaik, manakala beberapa kawasan masih berdepan hujan lebat sejak awal pagi.

Sementara itu, berdasarkan laporan publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di lima stesen utama iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai (Dungun), Sungai Tebak di Jambatan Tebak (Kemaman), Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (Kemaman), Sungai Chalok di Jambatan Chalok (Setiu) serta Sungai Setiu di Kampung Bukit (Setiu) telah melepasi tahap bahaya, menunjukkan risiko gelombang banjir yang lebih buruk.


Tag :

Artikel Berkaitan