• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Bantuan Persekolahan, Tuisyen Rakyat Dengan Norma Baharu

KEMAMAN, 27 Disember - Kerajaan negeri sedang menggerakkan dua inisiatif pendidikan iaitu bantuan permulaan persekolahan tahun 2021 dan program Tuisyen Rakyat sebagai langkah memperkasakan pelajar, prestasi pelajaran serta pembelajaran negeri dalam norma baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan inisiatif bantuan dalam bentuk uniform dan barangan sekolah terpaksa ditangguhkan.

Katanya, pemberian berbentuk baucer RM100 secara asas sama seperti tahun sebelumnya akan disalurkan kepada pendaftar baharu tahun satu sehingga ke tingkatan enam, meliputi peringkat rendah dan menengah daripada golongan B40 sahaja.

“Keputusan telah diambil kira daripada situasi keperluan pelajar dan kekangan kewangan ibu bapa. Hasilnya, kerajaan telah meluluskan hampir RM7 juta dan jangkaan penyaluran bantuan ini pada Januari tahun hadapan.

“Data sedang dikemaskini daripada maklumat pemberian tahun lepas bersama kemasukan tahun satu tahun depan, pembersihan nama dibuat bagi menyingkir nama yang telah meninggal dunia dan sebagainya.

“Tahun lepas mencatatkan kira-kira 70,000 penerima, dan maksimum satu rumah adalah dua orang bagi tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khidmat Setia 2019 di Universiti Kolej TATI, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berkenaan program Tuisyen Rakyat, beliau berkata, isu prestasi para pelajar yang terjejas dipandang serius kesan penularan wabak dan penutupan sekolah terutamanya mereka yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan seumpamanya.

“Hasilnya kita telah luluskan di setiap 32 DUN untuk melaksanakan Tuisyen Rakyat sebagai program lonjatan akhir menghadapi ujian tersebut.

“Setiap DUN akan menerima RM10,000 bagi pelaksanaan program ini khususnya di zon luar bandar yang menghadapi isu liputan talian dan gajet. Oleh itu, premis awam seperti dewan balai raya dan masjid digunakan.

“Inisiatif ini hasil kepekaan pentadbiran dalam mengekalkan kecermelangan akademik di Terengganu dengan harapan penganjuran ini meliputi segala peringkat khususnya di luar bandar,” katanya lagi.

Tambah Satiful lagi, program Lonjakan Akhir SPM sebelum akhir bulan Mac akan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)

“Pelaksanaan menggunakan guru pakar daripada JPN di balai awam walaupun dalam jumlah pelajar sedikit kerana pematuhan terhadap larangan Kementerian yang telah ditetapkan,” katanya.