• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

"Bantuan Sampai Tak Putus-Putus" - Mangsa Kebakaran

KUALA NERUS, 17 Julai – "Alhamdulillah, bantuan sampai tak putus-putus pada saya, tak terkata, Syukur pada Allah atas pertolongan yang sampai,” luah seorang mangsa kebakaran, Semek Mamat setelah dibantu Kerajaan Negeri dalam menghadapi ujian getir itu.

Ibu tunggal berusia 62 tahun yang menetap di Kampung Kesom itu berkata, orang ramai berpusu-pusu menghantar bantuan kepadanya selepas rumahnya musnah dijilat api.

Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin menjelaskan, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu dan Tabung Darul Iman turut hadir bagi menyalurkan barangan keperluan harian.

“Di samping itu, Skuad Kebajikan Parlimen Kuala Nerus dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading juga sertai menyumbangkan wang tunai dan kata-kata semangat kepada mangsa.

"Dalam masa terdekat juga, kita akan usahakan kediaman baharu untuk Puan Semek serta anak-anak supaya mereka lebih selamat dan selesa," tambahnya.

Turut hadir memberi semangat Setiausaha Persatuan Isteri wakil dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Tuan Roslina Tuan Sulaiman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.

Menurut Semek, kejadian berlaku pada petang baru-baru ini, dipercayai bermula di bahagian dapur mengakibatkan 80 peratus bahagian rumah tidak dapat diselamatkan.

“Semasa kejadian, saya sedang tidur di ruang tamu dan dua orang anak saya yang lain tiada dirumah.

"Bila saya tersedar, api sudah marak di bahagian tengah rumah dan saya keluar melarikan diri,” katanya lagi.

Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar melaporkan tiada kemalangan jiwa berlaku dan api tidak merebak ke rumah jiran berdekatan.