• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Batu 4 Muncul Johan Liga Dun Piala YB Air Putih 2023

KEMAMAN, 6 Jun - Pasukan Batu 4 muncul juara dalam perlawanan akhir menentang Neram 2 pada kejohanan bola sepak sebelah tertutup dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dan membawa pulang Piala Yang Berhormat pada 3 Jun yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkat, perlawanan sengit itu tamat dengan keputusan penuh 3-0 dan kemenangan berpihak kepada pasukan Batu 4.

"kejohanan ini mengambil masa hampir tiga bulan dengan 32 perlawanan keseluruhannya bertempat di Stadium Mak Chili dan disertai oleh 16 pasukan yang bermain setiap hujung minggu.

 

“Kejohanan ini julung kali diadakan dan kita akan menjadikannya sebagai acara tahunan kerana sambutan yang amat menggalakkan terutamanya daripada golongan muda.

“Syabas dan tahniah kepada pasukan Batu 4 yang telah menjadi juara pada kejohanan kali ini dan pasukan lain juga masih berpeluang untuk menjadi juara pada kejohanan yang akan datang," ujar beliau ketika ditemubual selepas tamat perlawanan akhir di Stadium Mak Chili, Kemaman di sini baru-baru ini.

Tambah Ab Razak, semua pemain juga telah menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan dan seumpamanya walaupun kadang-kadang ada provokasi dari pihak penyokong masing-masing.

Ab Razak berterima kasih kepada Penyelaras Pemuda DUN Air Putih selaku penganjur atas kejayaan cemerlang dalam mengendalikan kejohanan tersebut.

"Kejayaan itu pastinya adalah hasil dari kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pemuda walaupun ianya agak mencabar," jelasnya.

Kejohanan ini menawarkan hadiah utama berupa tunai sebanyak RM 2000, pingat dan piala pusingan, tempat kedua RM 1000,  berserta pingat, tempat ketiga RM 700 berserta pingat dan tempat keempat RM 500 beserta pingat.


Tag: