lightning-solid
Berita :
Belanjawan 2026 Garis Hala Tuju Pembangunan Seimbang Berteraskan Rakyat
Belanjawan 2026 Garis Hala Tuju Pembangunan Seimbang Berteraskan Rakyat
Noraini Jusoh
12 Nov 25
158

KUALA TERENGGANU, 12 November – Belanjawan Negeri Terengganu 2026 memperlihatkan hala tuju pembangunan negeri yang bukan sekadar berorientasikan ekonomi, tetapi turut menitikberatkan keseimbangan sosial, kesejahteraan rakyat dan kelestarian hidup masyarakat bandar serta luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata pendekatan holistik ini menzahirkan keazaman kerajaan negeri untuk memastikan setiap inisiatif pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukan hanya dalam bentuk kemudahan fizikal, tetapi juga peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan komuniti.

“Dari sudut infrastruktur, pelbagai projek strategik berimpak tinggi dirancang untuk memperkukuh jaringan logistik dan memperluas capaian pembangunan, namun matlamat akhirnya adalah memastikan rakyat menikmati kemudahan yang lebih baik, hidup dalam persekitaran yang selamat dan terancang.

“Antara projek utama termasuk pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development – TOD) di kawasan stesen ECRL, pembinaan laluan alternatif dari Stesen ECRL Chukai ke Pelabuhan Kemaman, serta pembesaran Pelabuhan Kemaman, yang bukan sahaja memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab perdagangan dan industri, tetapi juga mewujudkan komuniti moden yang terhubung dan sejahtera,” katanya.

Beliau menambah, perancangan berasaskan konsep TOD akan memperkenalkan corak kehidupan bandar baharu yang lebih terancang, mampan dan mesra rakyat, di mana pembangunan perumahan, perniagaan dan pengangkutan disepadukan secara harmoni.

Dalam bidang utiliti, katanya, Belanjawan 2026 memberi penekanan kepada akses adil terhadap sumber asas seperti air bersih, bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat kemudahan setara tanpa mengira lokasi.

“Pelaksanaan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) akan memastikan agihan air yang lebih stabil bagi memenuhi keperluan rakyat dan industri. Malah, kerajaan negeri turut mempertimbangkan subsidi bekalan air untuk sekolah tahfiz dan pondok, mencerminkan keprihatinan terhadap institusi pendidikan Islam sebagai teras pembinaan sahsiah masyarakat,” katanya.

Menurut Hanafiah, pembangunan luar bandar juga menjadi fokus utama dengan penekanan kepada kemudahan asas, perumahan mampu milik, peluang ekonomi desa dan kesejahteraan sosial agar jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.

“Belanjawan ini bukan sekadar membina jalan atau pelabuhan, tetapi membina asas kehidupan rakyat – yang sejahtera dari segi ekonomi, sosial dan spiritual. Inilah makna sebenar pembangunan berpaksikan rakyat,” tegasnya.


Artikel Berkaitan