• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Beli Tenaga Solar, MBKT Jimat 30 Peratus

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Pembelian tenaga solar bakal memberikan penjimatan sehingga 30 peratus kepada kos operasi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah selaku pengerusi ahli lembaga pengarah Tesdec Berhad, berkata melalui usahasama perjanjian tersebut memberikan ruang MBKT menawarkan perkhidmatan lebih baik dengan kekuatan kewangan lebih besar.

"Untuk makluman, dengan penggunaan sistem tenaga solar ini kita dapat menjimatkan sekitar 30 peratus dari segi kos elektrik secara amnya. Sepertimana yang saya maklumkan, antara agensi yang mengalami kesusutan pendapatan kerana pelaksanaan manifesto pelupusan cukai kediaman ialah MBKT yang mengurangkan pendapatan mereka.

"Dalam perjanjian ini, Tesdec Green Energy Sdn Bhd (TGESB), sebuah anak syarikat Tesdec Berhad sebagai pelaksana, akan membekalkan tenaga solar kepada tujuh fasiliti milik MBKT yang mana dua daripadanya telah disiapkan sepenuhnya dan beroperasi iaitu di Pasar Kedai Buloh dan Pasar Batu Enam.

"Jadi, ada lima lagi fasiliti yang sedang diuruskan iaitu Pasar Payang 2, Pusat Akuatik di Batu Buruk, Stesen bas MBKT, parkir Pasar Payang dan Pasar Bukit Besar dengan keseluruhan nilai perjanjian sebanyak RM2.8 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar antara MBKT dan TGESB di pejabat MBKT, hari ini.

Perjanjian pemberlian berkenaan ditandatangani tiga wakil MBKT diketuai Dato’ Bandar MBKT; Rosli Latif, Setiausaha MBKT; Mohd Sukeri Ibrahim dan Wakil Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu; Haji Wan Mokhtar @ W. Moxtor Wan Kadir, serta wakil dari TGESB iaitu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TGESB; Shukrimun Bin Shamsudin, Pengarah Eksekutif TGESB; Dr. Zakiyah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad; Mohd Iskandar Muhammad Aziz.

Beliau menambah, sekiranya projek berkenaan berjalan dengan baik dan memberi impak besar kepada MBKT, ia akan turut diperluaskan ke tempat-tempat lain.

Dalam pada itu, Rosli turut memaklumkan, dengan penjimatan yang bakal diterima MBKT, dapat dimanfaatkan kepada projek-projek lain di Kuala Terengganu.

"Penjimatan sebanyak 30 peratus itu besar bagi kita. Ia boleh digunakan kembali untuk manfaat rakyat kita dan itulah yang akan dipulangkan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan dalam operasi kita.

"Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata. Kos operasi MBKT memerlukan RM5.5 juta hingga RM6 juta untuk perbelanjaan bulanan. Maka, kita menyasarkan pendapatan sehingga RM100 juta bagi tahun 2023, mengikut akta dan undang-undang sedia ada untuk meningkatkan perkhidmatan kita dan ini antara inisiatif yang diusahakan" katanya.

 

 


Tag: