lightning-solid
Berita :
Belia Terengganu Perlu Berfikiran Kritis, Letak Kepentingan Negeri Atasi Politik
Belia Terengganu Perlu Berfikiran Kritis, Letak Kepentingan Negeri Atasi Politik
Muhamad Fazlee Aziz
2 jam yang lepas
28

Oleh : Nurul Natasha Surin

KUALA NERUS, 25 Februari – Golongan belia diseru agar berfikiran kritis serta meletakkan kepentingan negeri mengatasi sentimen politik kepartian dalam setiap tindakan dan penilaian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, generasi muda hari ini merupakan kelompok yang berupaya menilai sesuatu isu secara matang berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Program Future Terengganu Leader (FUTERA) Roadtour di Pejabat Daerah Kuala Nerus, di sini.

Menurutnya, program tersebut bukan bertujuan mendoktrin peserta dengan fahaman politik sempit, sebaliknya membentuk belia yang memahami tanggungjawab sebagai anak negeri dan warganegara.

“Generasi hari ini adalah generasi yang kritikal. Mereka tahu menilai, menganalisis dan membuat keputusan berdasarkan dapatan yang ada.

“Kita tidak perlu memaksa atau membentuk pemikiran mereka secara sempit.

“Kepimpinan sebenar menuntut jiwa khidmat serta keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar persaingan politik atau perebutan kuasa”, tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pembangunan sesebuah negeri perlu dilihat dalam konteks sejarah, struktur ekonomi serta faktor setempat sebelum dibandingkan dengan negeri lain.

“Setiap negeri mempunyai latar belakang dan cabaran berbeza yang mempengaruhi hasil dan kadar kemajuan dicapai.

“Adil atau tidak sesuatu perbandingan itu bergantung kepada konteksnya. Kita perlu faham realiti ekonomi dan sejarah negeri sebelum membuat kesimpulan.

“Kemajuan tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan nilai jangka panjang atau kepentingan generasi akan datang”, ujar beliau.

Beliau berharap belia Terengganu mampu menjadi generasi yang berprinsip, berintegriti dan memiliki daya tahan tinggi, seterusnya memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negeri terus berlangsung secara seimbang dan mampan.


Tag :

Artikel Berkaitan