• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Belia Tok Lawit Manfaatkan Tanah Terbiar Untuk Pertanian

HULU TERENGGANU, 6 Ogos – Kelab Belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit berjaya manfaatkan kawasan tanah kosong atau yang terbiar dengan aktiviti pertanian. 

Pengerusi Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, Mohamad Yusuf Abdullah berkata usaha tersebut membantu ekonomi belia setempat selain turut mendatangkan hasil yang baik kepada negeri.

“Terdapat tanah yang terbiar milik perseorangan mahupun milik kerajaan yang hanya menjadi lalang dan semak samun tanpa diusahakan dan ia amat merugikan.

“Ia adalah peluang kepada belia yang terkesan dengan pandemik dengan galakan kerajaan dan sinergi bersama agensi yang berkenaan malah sekarang adalah masa yang tepat untuk memajukan sektor pertanian dan mengorak langkah mencapai kejayaan," katanya.

Beliau berkata ketika mengadakan lawatan di tapak projek tanaman padi Kelab Belia Sahabat Sejahtera (KBSS) Kampung Tok Lawit dan menyampaikan sumbangan kepada wakilnya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit, Rizuan Sulong berkata, untuk permulaan kelab belia Sahabat Sejahtera Kampung Tok Lawit akan menumpukan usaha tanaman padi.

“Kita nak gunakan tanah terbiar sebagai usaha memartabatkan sektor pertanian dalam negeri Terengganu dengan penyertaan belia dan masyarakat kampung dalam bidang berkenaan.

“Ia seiring dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencadangkan tahun 2021 sebagai Tahun Pertanian Negeri," ujarnya.

Menurutnya lagi, pada peringkat awal usaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Tok Lawit mengadakan perbincangan bersama dengan pengusaha tanaman padi selepas melihat peluang kepada belia kampung yang tiada pekerjaan untuk mengusahakan tanah yang terbiar sekitar 10 hektar lebih dengan aktiviti bertani.

“Semoga usaha yang dilakukan ini berjaya mendapat hasil dan natijah yang baik,"katanya.