• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Belukar Bukit Dibuka Mulai Mac, Kembali Tarik Pengunjung



Kawasan perkelahan Belukar Bukit, Ajil kembali menggamit kunjungan ramai selepas dibuka kepada pengunjung bermula Mac lalu.

Kerajaan negeri menutup sementara kawasan Air Terjun Belukar Bukit, susulan tragedi lima sekeluarga lemas ketika berkelah di kawasan itu pada akhir 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, sejak dibuka semula, pusat riadah itu mula dikunjungi pengunjung tempatan dan luar untuk menjalankan pelbagai aktiviti.

"Ini memberi satu petanda, lokasi itu selamat untuk orang ramai tetapi perlulah mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

"Pematuhan itu termasuklah ibu bapa harus menjaga anak-anak mereka dan jangan biarkan tragedi berlaku kembali disebabkan kecuaian.dan kepada orang ramai yang tidak pandai berenang, jangan pula cuba menghampiri kawasan yang berbahaya demi keselamatan diri,"katanya.

Beliau berkata demikian di Program Santai YB Ajil Bersama Pengunjung di kawasan perkelahan Belukar Bukit, Ajil, semalam.



Hampir 500 pengunjung dari sekitar kampung dan luar menyertai program santai  tersebut dengan pelbagai aktiviti yang disediakan seperti sukan air, sukaneka dan `ngambat' ikan.



Sementara itu, seorang pengunjung, Norliana Abdul Majid berkata, dia bersama anak-anak, keluarga yang lain serta jiran terdekat ke situ untuk bermandi-manda selain beriadah bersama keluarga pada hari cuti.

“Sekarang ini musim panas, jadi Belukar Bukit memang pilihan tepat untuk kami berendam dan hilangkan kepanasan selain beriadah dengan tenang bersama keluarga.

"Dalam keadaan bersuka ria ,saya tetap menjaga keselamatan anak-anak saya supaya tidak ke kawasan larangan untuk mandi manda.Kita perlu patuh arahan pihak berwajib jika mahu selamat,"tambahnya lagi.

Tag: