• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bentuk Jati diri Melalui Berpersatuan

KUALA TERENGGANU, 23 September – Keterlibatan seseorang dalam aktiviti berorganisasi akan dapat membuahkan jati diri yang jitu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu  berkata, banyak kesan positif akan terpamer ke atas individu sebaik sahaja mereka terlibat dalam gerak kerja persatuan.

Menurut beliau lagi, tidak dapat dinafikan bahawa orang yang menyertai persatuan lebih mempunyai jati diri dan menjadi insan yang berjaya jika dibandingkan dengan individu yang pasif dalam persatuan.

Pembimbing bergambar bersama Zuraida.

“Bila kita terlibat dengan jemaah atau organisasi, kita akan dilatih dengan disiplin yang tinggi dan pengajaran yang berkesan di samping disulam dengan pengalaman yang luas.

“Dan hal ini pastinya membolehkan ahli-ahli persatuan untuk disebarluas kepada masyarakat sekeliling dalam membantu kerajaan untuk melahirkan rakyat yang bermanfaat kepada negeri.

“Daripada sini juga sebenarnya kita dapat mencungkil bakat, menggilap skil kepimpinan dalam diri anak-anak muda hingga akhirnya terhasil seorang pemimpin negara yang berkarisma dan matang. Agenda ini yang saya sedang gerakkan kepada beliawanis Terengganu,” ujarnya.

Zuraida ketika berucap merasmikan mesyuarat agung.

Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (Pandu Puteri Terengganu) Kali ke 31 di Hotel Sumai, baru-baru ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak persatuan atas kejayaan mewujudkan satu persatuan badan berunifom yang aktif.

“Saya difahamkan Persatuan Pandu Puteri merupakan sebuah badan beruniform yang cukup sinonim dalam kalangan warga pendidikan dengan keahliannya adalah guru dan pelajar.

“Saya sendiri pun merupakan Pandu Puteri sebenarnya sewaktu di sekolah rendah, cumanya ketika itu dikenali dengan ‘Brownie’, sekarang sudah ditukarkan kepada Pandu Puteri Tunas,”ujarnya.

Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah 23 orang pelajar Pandu Puteri dari seluruh Negeri Terengganu yang menerima Anugerah Pandu Puteri Remaja termasuk dua orang pelajar yang menerima Anugerah Pandu Puteri di-Raja.

Dua orang pelajar tersebut ialah Najwa Sidek Ahmad dari SMK Tengku Mahmud, Besut dan Aisyah Maisarah Mohd Zulkifli dari SMK Tengku Ibrahim, Setiu.

Najwa dan Aisyah bergambar bersama Zuraida dan guru pembimbing.

 


Tag: