• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Beras Madani : Kerajaan 'Kluk Klek', Rakyat Jadi Mangsa

BESUT, 18 Februari - Kenyataan yang saling bercanggah dalam isu utama negara terutama melibatkan sumber makanan ruji negara seperti beras tidak boleh diterima sama sekali.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim menegaskan, percanggahan keputusan dalam kementerian lebih-lebih lagi apabila melibatkan makanan utama akan memberi impak kepada seluruh rakyat.

"Di kalangan teraju yang menjaga sektor makanan negara tidak sepakat, baru-baru ini ada seorang keluar kenyataan (Ahli Parlimen Bukit Gantang), semalam pula menteri (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan-KPKM), keluar kenyataan menafikan kenyataan itu.

"Saya tengok ada sesuatu isu yang perlu diselesaikan di peringkat kementerian, bagaimana seorang boleh mengeluarkan kenyataan dan apakah dia berautoriti dalam bidang kuasanya? Tanpa kelulusan kabinet dan menteri pula hari ini memberi kenyataan tidak merestui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

"Bagaimana boleh tidak sepakat dalam perkara ini, selesaikanlah. Jangan jadikan rakyat keliru serta buat satu solusi yang terbaik," katanya.

Belilau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Main Selut Bukit Tanah 2024 yang diadakan di Baruh Padi Gong Telikung, semalam.

Tambah Dr. Azman, keputusan tersebut seharusnya dikaji semula oleh kementerian terbabit sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas ini kerana sebarang keputusan akan memberi impak besar kepada rakyat.

"Kita tidak dapat elak situasi pembelian panik berlaku kerana ada kemungkinan harga akan naik pada suatu tarikh yang ditetapkan apabila ia berkuatkuasa.

"Semoga ia dikaji semula kerana dilihat tiada kesepakatan. Daripadakenyataan dikeluarkan sebelum ini (oleh Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)) seolah-olah mendapat restu Perdana Menteri, tetapi hari ini dinafikan pula.

"Kita harap mereka tengok semula kepentingan rakyat, jangan kita jaga kepentingan taikun-taikun yang akhirnya menekan rakyat dengan sektor makanan ruji seperti ini," nasihatnya.

Sebagai rekod, pada 14 Februari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL mengumumkan bahawa kerajaan bakal memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.

Namun, hari ini Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan media menafikan perkara itu. Jelasnya dalam kenyataan itu, kerajaan belum ada ketetapan yang dibuat atas cadangan Datuk Syed Abu Hussin, sebaliknya menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan membincangkan secara kolektif isu Beras Putih Malaysia Madani dalam Mesyuarat NACCOL akan datang.

Nota: Kluk klek merupakan loghat Terengganu yang bermaksud tidak tetap pendirian. 


Tag: