Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 6 November- 'Kehilangan' beras tempatan terus menjadi isu di kalangan rakyat marhaen sehingga mendapat reaksi Pengerusi Jawatankuasa. Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.
Dalam kenyataan di laman Facebooknya pagi ini, beliau menegaskan isu beras tempatan bertukar kepada beras import setelah masuk ke kilang padi sering kali diutarakan, tetapi tiada tindakan yang lebih baik dilaksanakan.
"Banyak kali saya bentangkan isu ini kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara. Antara jawapan yang saya perolehi ialah, kami bekerja ikut peraturan. Apabila kami pergi 'check' (siasat), didapati ada guni beras import di kilang pembungkusan sebagai bukti. Rupa luaran beras import dan beras tempatan adalah hampir sama. Susah nak dibezakan! Kami tak boleh nak ambil tindakan.
"Saya cuba buka minda mereka, apakah mungkin guni beras import itu hanya diletakkan sebagai sample untuk mengelirukan anggota penguatkuasa? Sedangkan yang dibungkus sebagai beras Super Import sebenarnya adalah beras tempatan. Mereka tidak pula berani menafikannya kebenaran fakta ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, apa yang lebih penting ialah fokus kepada isu pokok yang menjadi punca masalah berkenaan.
"Peningkatan kos pengeluaran padi dan kos pembelian padi di kilang sekarang ini sekitar RM1500/tan, beras tempatan dijual kepada pemborong dengan harga RM2650 bagi beg saiz jumbo 1 tan. Maknanya harga kilang sudah RM2.65/kg. Mana mungkin pihak pemborong dan pembungkus boleh jual dengan harga runcit kawalan beras tempatan RM2.60/kg?
"Kerana itulah kita perlu berpijak di bumi nyata dan selesaikan masalah dari punca," katanya.
Dr Azman menjelaskan, dengan peningkatan kos pengeluaran ekoran dari peningkatan harga diesel, harga lantai belian padi RM1300/tan sudah tak relevan lagi. Ia mesti dinaikkan pada paras antara RM1500-RM1800/tan.
Menurut beliau, kenaikan harga belian padi akan membawa kepada kenaikan harga beras.
Namun, pengguna masih boleh bertoleransi jika ada sedikit kenaikan harga beras tempatan pada kadar yang munasabah.
"Contohnya, antara RM2.80-RM3/kg. Ia sebenarnya lebih murah dari harga beras tempatan yang dijenamakan sebagai beras import sekarang iaitu antara RM3.50-RM3.80/kg. Beras sama saja!," ujarnya.