Jalur Gemilang
Berita :
Bila Hutang 'Ciput', Hasil Naik, Ramailah Muncul 'Nak Jaga' Terengganu
Bila Hutang 'Ciput', Hasil Naik, Ramailah Muncul 'Nak Jaga' Terengganu
Husaif Mamat
7 jam yang lepas
373

Terengganu kini seperti rumah yang sudah banyak dibaiki. Hutang lama semakin berkurang, pendapatan bertambah, manakala beberapa projek besar mula menunjukkan potensi menjana pendapatan negeri dan rakyat.

Tidak hairanlah jika negeri ini semakin menarik perhatian pihak yang mahu mengambil alih pentadbiran. Siapa yang tidak mahu memegang kunci rumah apabila kerja membaiki bumbung hampir selesai?

Pada 2017, hutang kerajaan negeri dilaporkan sekitar RM907 juta. Setakat 31 Mac 2026, bakinya susut kepada RM114.68 juta. Hasil yang dijana negeri pula meningkat daripada sekitar RM246 juta pada 2017 kepada RM454.69 juta pada 2025.

Mudah cerita, hutang semakin kecil tetapi kemampuan negeri mencari duit sendiri semakin baik. Yang penting, perubahan itu tidak patut terhenti sebagai angka dalam laporan kewangan. Rakyat mahu merasainya dalam kehidupan seharian.

Satu contoh yang dekat dengan mereka ialah Wad Kelas Ketiga Percuma. Caj rawatan bagi rakyat Terengganu yang dimasukkan ke wad kelas ketiga hospital kerajaan ditanggung oleh kerajaan negeri. Menurut laporan pada Februari 2025, lebih RM12 juta telah diperuntukkan sejak 2020 dan lebih 224,000 pesakit menerima manfaat. 

Program itu juga diumumkan untuk diteruskan sehingga 2028. Bagi keluarga yang sedang menjaga ahli keluarga sakit, bil hospital yang ditanggung itu lebih bermakna daripada apa-apa slogan tentang hasil negeri.

Perubahan turut dapat dilihat pada syarikat milik kerajaan negeri. Pendapatan Kumpulan Terengganu Inc meningkat daripada RM964 juta pada 2018 kepada RM2 bilion pada 2025. TDM Berhad, yang mencatat kerugian RM36 juta pada 2018, kembali meraih keuntungan RM19 juta pada 2025. Pendapatan EPIC pula meningkat daripada RM296.9 juta kepada RM409.4 juta bagi tempoh yang sama.

Syarikat Terengganu juga kini mampu mengambil bahagian apabila peluang besar muncul. Ini membolehkan projek yang berjalan di Terengganu, pulangannya tidak mengalir ke tempat lain.

Lihat sahaja projek solar terapung di Tasik Kenyir. Selama ini, Kenyir terkenal dengan pulau, hutan dan pelancongan. Selepas ini, tasik tersebut turut berpotensi menjadi sumber tenaga dan hasil baharu kepada negeri.

Bagi fasa awal projek itu, kerajaan negeri mengunjurkan hasil langsung sekitar RM40 juta setahun.

Terengganu Inc pula dijangka menerima dividen berjumlah RM670 juta sepanjang 25 tahun operasi. Jika keseluruhan projek solar terapung dilaksanakan kelak, caj kepada Lembaga Air Terengganu sahaja dianggarkan boleh melebihi RM100 juta setahun. Angka ini masih unjuran, projek perlu siap dan beroperasi sebelum pulangannya benar-benar dapat dikutip.

Di Kemaman, pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan di Terengganu mencecah RM6.54 bilion pada 2025, berbanding hanya RM73.1 juta pelaburan pembuatan yang diluluskan pada 2017. 

Projek yang diluluskan akan dilaksanakan kelak, manfaatnya boleh sampai kepada pekerja, pembekal, pengusaha pengangkutan dan perniagaan tempatan.

Sebab itu, apabila bercakap tentang masa depan Terengganu, soalnya bukan sekadar siapa mahu memerintah. 

Soalnya, siapa mahu datang ketika hutang sudah banyak dibayar, syarikat negeri sudah dipulihkan dan projek baharu hampir mula memberi pulangan? 

Sesiapa pun berhak menawarkan diri kepada rakyat. Namun, mereka yang mahu mengambil alih perlu menjawab satu perkara dengan jelas, apakah rancangan mereka untuk menjaga kemajuan ini dan memastikan hasilnya terus sampai kepada rakyat?

Wad kelas ketiga menunjukkan bagaimana keputusan kerajaan boleh meringankan beban sebuah keluarga. Solar Kenyir pula menunjukkan ruang untuk negeri mendapat hasil baharu pada masa depan. 

Terengganu mungkin sedang digilai kerana potensinya. Tetapi negeri ini bukan hadiah untuk sesiapa yang muncul apabila ‘rumah usang sudah cantik’. 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan