• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Bukit Harimau Menangis Cetus Trend Aktiviti Lasak Baharu

Aktiviti mendaki dibataskan pada waktu tertentu atas tujuan keselamatan.


Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN, 3 Februari - Aktiviti mendaki Bukit Harimau Menangis mencetuskan satu fenomena baharu apabila berjaya menarik ramai pengunjung dan penggemar aktiviti lasak setiap kali cuti hujung minggu.

Tinjauan pada jam 8 pagi hujung minggu lalu, mendapati hampir 100 buah motosikal dan 50 buah kereta pengunjung diparkir di pinggir jalan sekitar lokasi berkenaan.

Seorang pengusaha jualan makanan ringan dan air minuman, Suhaini Kamaruzaman, 36, yang membuka gerai di jalan masuk ke bukit tersebut berkata, lokasi itu menjadi semakin popular selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili melakukan aktiviti mendaki bersama masyarakat sekitar dua minggu lalu.

"Keadaan berubah serta-merta masuk minggu kedua kakak berniaga di sini. Pada Jumaat dan Sabtu minggu lepas, pengunjung terlalu ramai datang sehingga tidak menang tangan juga kita dibuatnya.
 
Kenderaan mula memenuhi kaki bukit setiap hujung minggu seawal 6 pagi. 

"Ada yang datang sebelah pagi dan ramai juga yang datang selepas waktu Asar. Tetapi, kebanyakannya datang bersama anak dan keluarga,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman di gerai jualannya.

Sementara itu, Mohd Nazri Mohd Zaki, 45, seorang pekerja swasta yang menetap di Taman Panalex, Kertih mengakui itu adalah kali pertama dia berlima sekeluarga mendaki di situ.

"Kebiasaan kami sekeluarga mendaki di Bukit Bauk, Dungun. Namun selepas berkunjung ke sini, ternyata Bukit Harimau Menangis lebih menarik dan sesuai untuk pendakian bersama anak-anak atau bersama keluarga.
 
Keluarga Mohd Zaki seronok dengan laluan denai Bukit Harimau Menangis.
"Laluan denai memberikan pengalaman baru untuk kami sekeluarga. Anak-anak juga sangat seronok walaupun kepenatan," kata lagi.

Sementara tiga sahabat, yang juga pegawai bank komersial di Kemasik, Ismail Afif Mohd Ariffin, Khairul Amilin Kamaruzaman dan Shazlan Amer Mohd Yusof pula senada menyatakan keseronokan melakukan aktiviti mencabar membuatkan mereka terus mengulangi kunjungan ke Bukit Harimau Menangis hampir setiap hujung minggu.

Tiga peminat aktiviti lasak akui mendaki Bukit Harimau Menangis beri pengalaman menarik.




Tag: