• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bukit Kor Dan Kampung Gondang, Marang, Bakal Dikenali Sebagai Kampung Warisan



Kerajaan negeri bersetuju menjadikan kawasan perkampungan Bukit Kor dan Kampung Gondang, Marang sebagai destinasi tumpuan pelancongan yang dikenali sebagai Kampung Warisan, mulai pertengahan tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkalan Berangan, A. Latiff Awang berkata, pemilihan kawasan kira-kira 40 hektar itu yang berkonsep tradisional, mempunyai pemandangan desa yang menarik serta jauh dari kesibukan lalu lintas dan pembangunan, mampu menjadi tarikan pelancong dalam mahu pun luar negara.

Katanya, projek yang dijangka bermula pertengahan 2017 akan menempatkan pelbagai perusahaan industri desa, tembaga, tenunan, pertukangan dan juga pelbagai tanaman hampir pupus di negara kita, termasuk pokok jambu arang dan pokok sentul.

“Kita juga akan membina rumah-rumah contoh tradisional Terengganu yang dikelilingi dengan dusun buah-buahan dan berhampiran anak sungai.

“Apa yang diusahakan ini semata-mata mahu memperkenalkan kepada pelancong luar Terengganu dan kepada generasi akan datang,”katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains,Teknologi dan Tranformasi Negeri. 


Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kejohanan Mountain Bike Batangan Jamboree 2016, di Kampung Batangan, Seberang Marang, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Dato' Nik Dir Nik Wan Ku dan Pengurus Promosi Sekretariat Beautiful Terengganu,Ahmad Fathil Abdul Ghani.

A. Latif berkata, kejohanan yang julung kali dianjurkan itu akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan dengan menjangkakan lebih ramai penyertaan pada tahun hadapan, termasuk peserta luar negara.

“Apa yang membanggakan, sebanyak 35 syarikat tempatan dan luar Terengganu tampil memberi sumbangan untuk bersama-sama  menjayakan kejohananan anjuran kerajaan negeri melalui  Sekretariat Beautiful Terengganu, “ katanya.

  

Tag: