• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ceburi Kebuniti Alternatif Tambah Pendapatan

KUALA TERENGGANU, 30 September - Projek Kebun Komuniti (Kebuniti) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri menjadi alternatif rakyat sama ada warga bandar dan pinggir bandar untuk menceburi bidang pertanian bagi menambah pendapatan setelah terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sehingga kini terdapat 2,800 peserta yang mengikuti prorgam berkenaan dengan peruntukan RM1.3 juta termasuk mengagihkan kit peralatan bagi membantu peserta untuk mengusahakan pertanian bandar itu.

"Apa yang kita (kerajaan) hendak tekankan dalam situasi sekarang ramai diberhentikan kerja, sektor ini menjadi pilihan, jadi tidak timbul soal tiada tanah kerana boleh manfaatkan ruang tepi rumah, dewan orang ramai, masjid, balairaya atau seumpamanya.

"Tidak akan jadi masalah tanah tidak konkrit atau berbatu dan sebagainya kerana boleh diusahakan melalui banyak kaedah, sama ada secara konvensional, hidroponik, fertigasi dan bermacam-macam lagi cara yang melangkaui kaedah menanam secara tradisi menggunakan tanah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Program Penyerahan Peralatan Program Kebuniti 2.0 Dan Perasmian Kabin Tanaman Pintar di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Buruk di sini hari ini.

Mengenai Program Kebuniti yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 itu, Azman mengharapkan agar pada masa akan datang lebih ramai yang akan terlibat.

"Dalam masa yang sama kita telah sematkan dalam minda bahawa pertanian ini adalah hak semua, bukan menjadi milik kelompok tertentu sahaja, semua orang layak bertani dengan skala masing-masing.

"Yang paling penting sekali pertanian adalah suatu kerja yang boleh menghasilkan sumber makanan untuk kita semua," ujarnya.

Katanya, jika sekalipun tidak sampai ke tahap boleh dijual, kaedah berkenaan difikirkan mampu untuk menampung keperluan sendiri, keluarga dan jiran-jiran dalam sesebuah komuniti.

Mengenai Kabin Tanaman Pintar yang menggunakan teknologi kaedah 'plant factory' melalui peruntukan RM20,000 pula, katanya, ia menjadi model bagaimana pertanian boleh dibuat dalam bangunan.

Sementara itu, peserta Kebuniti, Sabri Ali, 48, berkata, beliau memohon projek berkenaan sejurus mengetahuinya dan terus merujuk kepada Jabatan Pertanian Terengganu.

"Alhamdulillah usaha ini boleh menambah pendapatan, bagi saya apa yang diusahakan oleh kerajaan ini merupakan langkah terbaik membantu kami yang tinggal di bandar ini dengan kapasiti tanah terbatas boleh turut bercucuk tanam," ujarnya.

Manakala seorang lagi penerima, Aziz Mohd Yassin, 61, pula berkata, langkah berkenaan telah mengubah minda masyarakat yang selama ini menganggap bahawa bertani hanya boleh dilakukan melalui kaedah tradisi semata-mata.

"Sekali gus menghapuskan tanggapan orang bahawa hendak bertanam perlukan kepada tanah. Apabila sebut pertanian sudah tentu kita hanya memikirkan cara demikian.

"Saya sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana beri peluang untuk turut terlibat dengan projek ini, ia akan dapat menambah pendapatan saya dan juga memberi galakan kepada yang lain yang selama ini hanya bergantung kepada tanah semata-mata untuk mengusahakannya," ujarnya yang merupakan bekas guru.

 

 


Tag: