• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19 : Kluster Raya Terbesar Badai Hulu Terengganu

KUALA  TERENGGANU, 29 Mei - Daerah Hulu Terengganu kini berisiko tinggi dalam penularan COVID-19 jika penduduk di kawasan itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah yang sebelum ini berstatus hijau bertukar ke status merah dalam sekelip mata angkara kluster raya yang telah membuahkan hasilnya.

Katanya, sehingga kini terdapat 124 kes Covid-19 aktif daripada lima kluster di daerah berkenaan berpunca daripada pelanggaran SOP dengan melakukan ziarah raya. 

"Gara gara masih ada yang melanggar SOP hanya kerana ingin beraya maka mereka rentas negeri masa raya dan ziarah raya..Hulu Terengganu tidak boleh lagi dianggap daerah selamat.

" Akhirnya seluruh mukim Kuala Berang dilaksanakan PKPD bagi membendung penularan yang besar. 

" Sekarang bukan mukim Kuala Berang saja yang ada kluster. mukim Hulu Telemong dan mukim Tanggol juga sudah dilanda badai Covid-19. Jika perlanggaran SOP berterusan maka bersedialah rakyat Hulu Terengganu menghadapi kluster yang lebih besar,"katanya menerusi hantaran di laman facebooknya pada Sabtu. 

Tambah Nor Azimi, terdapat kes indeks dari Johor yang pulang beraya dan berlaku ziarah raya antara ahli keluarga terdekat. 

"Akhirnya seramai 24 orang disahkan positif dan merebak ke pasar pula di mana empat pekerja am di pasar itu  telah disahkan positif. 

"Bagaimana risiko peniaga dan pembeli di situ. Semuanya terdedah dan ditakuti jangkitan telah meluas tanpa sedar," ujarnya lagi.

Tambahnya, ia termasuk dengan kluster di sebuah taman perumahan yang pulang beraya di Bentong dan balik beraya pula dengan jiran jiran.

" Akhirnya enam disahkan positif dan kontak rapat juga menjangkau ratusan orang," ujar beliau. 

Selain itu katanya, kluster di mukim Hulu Telemong berpunca daripada sejarah balik beraya dari Melaka yang sudah kembali semula ke negeri terbabit. 

"Kes tersebut balik dalam keadaan bergejala dan telah menular ke sebuah pejabat. Akhirnya 10 pekerja pejabat disahkan positif dan kontak rapat sedang dikesan,"katanya.

Jelas beliau lagi, walaupun nasihat telah diberikan supaya menangguh rentas negeri, majlis raya atau ziarah raya namun gagal dipatuhi menyebabkan musibah melanda.

"Sekarang musibah telah berlaku angkara tangan sendiri bukan tangan orang lain dan tak perlu tuding jari kepada sesiapa kerana kita yang salah. 

"Jangan sampai katil  wad kecemasan (ICU) di Terengganu sudah tidak berbaki kerana impak Kluster Raya sedang aktif maka kes dijangka terus meningkat," tambahnya.

 


 


Tag: