• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Cuaca Panas Dijangka Berterusan Sehingga Mac

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung. 

Menurut kenyataan itu, walau bagaimanapun, MET Malaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini. 

“Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.

“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun,” ujarnya kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, MET Malaysia memaklumkan sehingga kini, suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu. 

“Suhu tertinggi pada Februari 2021 adalah 36.2°C manakala pada tahun 2020 adalah 37.4°C yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak. 

"Keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan negara dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April 2021,” jelasnya.

Katanya, dalam keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air. 

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar dan minum air secukupnya.

“MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara. Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia,” ujar kenyataan tersebut.
 


Tag: