Jalur Gemilang
Berita :
Dari Hulu Terengganu Gegar Osaka, Sahut Bawa Pulang Tiga Pengiktirafan
Dari Hulu Terengganu Gegar Osaka, Sahut Bawa Pulang Tiga Pengiktirafan
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
113

KUALA TERENGGANU, 21 September - Jauh perjalanan dari Hulu Terengganu ke Osaka, Jepun, namun segala penat lelah itu terbayar apabila pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan robotik antarabangsa.

Bukan satu, tetapi tiga pengiktirafan berjaya dibawa pulang menerusi penyertaan dalam Universal Robotics Challenge (URC) 2026 yang berlangsung di OMM Building Exhibition Hall, Osaka, Jepun pada 19 September lalu.

Lebih membanggakan, SAHUT berjaya menempatkan diri di tempat ketiga Kategori Python, selepas bersaing dengan 58 pasukan dari 13 negara.

Kejayaan itu kemudian dilengkapkan dengan dua pengiktirafan khas apabila empat lagi murid SAHUT menerima Engineering Award dan Creativity Award daripada pihak juri.

Pertandingan anjuran Artec Educational Foundation itu mengangkat tema ‘Robots to the Rescue’, yang mencabar peserta menghasilkan robot berupaya membantu dalam situasi berkaitan bencana.

Bukan sekadar memastikan robot mampu bergerak, peserta turut diuji dalam aspek reka bentuk, pengaturcaraan, kreativiti, kejuruteraan serta keupayaan menyelesaikan masalah.

Guru Pengiring merangkap mentor pasukan robotik, Ahmad Ridhuan Azman berkata, sebelum berjaya mereka diuji dengan Robot rosak sebaik tiba di Jepun tetapi itu bukan alasan untuk pasukan SAHUT mengalah, sebaliknya menjadi ujian sebenar terhadap ketahanan, kreativiti dan kemahiran peserta sebelum turun berentap 

Katanya, cabaran tidak dijangka muncul apabila salah sebuah robot mengalami kerosakan serius, dipercayai berlaku ketika perjalanan dari Malaysia ke Jepun.

"Keadaan itu bertambah rumit apabila pencahayaan di lokasi pertandingan yang berbeza daripada tempat latihan turut mempengaruhi tindak balas sensor robot.

"Dengan masa yang amat terhad, peserta terpaksa membuat pelarasan terhadap pengaturcaraan dan konfigurasi robot bagi memastikan ia dapat berfungsi sebaik mungkin ketika pertandingan," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Ahmad Ridhuan berkata, dalam tekanan tersebut, segala ilmu dan pengalaman yang dikumpul sepanjang hampir dua bulan latihan menjadi sandaran untuk mereka mengenal pasti masalah, membuat keputusan pantas dan mencari penyelesaian.

Cabaran itu akhirnya menjadi pengalaman berharga yang mengajar peserta bahawa pertandingan robotik bukan sekadar mengenai kemampuan menghasilkan robot, tetapi turut menguji ketenangan, pemikiran kritis, ketahanan mental dan keupayaan bekerja dalam pasukan.

Bagi pasukan SAHUT, perjalanan ke Jepun bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya peluang membawa nama Malaysia, menimba pengalaman serta membuktikan kemampuan anak muda negara bersaing di pentas antarabangsa.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan