• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Demi Keselamatan Lapan Anak, Ibu Redah Banjir

HULU TERENGGANU, 7 Januari - Seorang ibu sanggup mengharungi air sepanjang 300 meter setiap kali banjir demi keselamatan nyawa lapan anaknya, termasuk seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU).

Roslina Mohammad, 42, yang turut ditemani suami, Mohd Zawawi Ghazali, 42, berkata, itulah rutin harus dilaluinya setiap kali musim tengkujuh kerana  lokasi rumahnya yang rendah sering ditenggelami air.

“Kadang-kadang rasa sukar juga kerana perlu membawa anak-anak termasuk anak istimewa Aisyah Basyirah Zawawi, 11, dan anak bongsu yang baru berusia dua tahun sambil mengharungi air yang dalam. 

"Namun demi keselamatan mereka, saya tetap gagahkan diri untuk melakukannya," katanya ketika ditemui di di pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Tapah, di sini. 

Roslina bersama suami dan lapan anaknya, antara 26 mangsa banjir yang ditempatkan di balai raya berkenaan. 

Jelasnya, dia mula berpindah pada jam 10 malam apabila menyedari air semakin naik akibat limpahan Sungai Berua susulan hujan lebat selama beberapa hari.

"Belakang rumah air dah naik hingga paras pinggang, mula rasa bimbang dan terus bawa anak-anak keluar sebelum ia semakin teruk.

"Tak sempat capai pakaian, cuma ambil yang penting sahaja sebab pada masa itu, hanya terlintas keselamatan kami sekeluarga," katanya.

 

 


Tag: