• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

"Demi Rakyat, Saya Sanggup Berkorban" - Hanafiah Mat

KEMAMAN, 16 Mei - "Saya menerima panggilan daripada seorang ibu mengatakan anaknya teringin makan satay pada pagi raya. Selepas solat sunat Aidilfitri, saya segera membungkus dan ke sana untuk menghantar hidangan itu bersama kuih dan duit raya untuk anak mereka.

"Ketika itu, ada dalam empat hingga enam rumah yang saya kunjungi untuk tujuan sama.

"Saya reda (dikenakan kompaun), sekurang-kurangnya saya boleh menjawab kepada Allah SWT (nanti), amanah yang orang letakkan ke atas saya sebagai wakil rakyat, saya sudah tunaikan permintaan mereka.

"Demi rakyat, saya rela berkorban, dikompaun," itu penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

Hanafiah dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira 9 malam tadi. Kompaun yang dikenakan ke atasnya disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan.


Tag: