• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dua Sekolah dari Kemaman Terima Anugerah Sekolah Lestari

KUALA NERUS, 21 September - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mak Lagam menerima persijilan Sekolah Lestari sempena Anugerah Alam Sekitar (SLAAS).

Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua sekolah terbabit menerima wang insentif sebanyak RM2,000. 

Wakil Guru SMK Kampung Baru Kerteh, Rusliza Mohd Arsad berkata, penyertaan itu secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada pihak sekolah dan generasi baru tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.

"Antara idea yang kita ketengahkan ialah mengenai sistem tadahan air hujan, baja kompos, mewujudkan lorong Program Pencegahan Dadah (PPDa) dan juga mengadakan laman sejahtera.

"Kita telah memulakannya pada tahun lepas, selepas ini akan banyak lagi aktiviti yang akan dibuat, antaranya akan melabelkan pokok-pokok tanaman dan sebagainya dalam usaha untuk melestarikan sekolah serta menjaga alam sekitar.

"Sewajarnya program ini diadakan secara berterusan supaya nilai-nilai murni dapat dipupuk dalam kalangan diri pelajar agar sebati, apa yang dapat di sekolah tidak berakhir begitu sahaja sebaliknya menjadikan mereka lebih bertanggungjawab apabila berada di luar dari sekolah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Program Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 dan Majlis Penganugerahan Sekolah Lestari Peringkat negeri, di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah Kuala Nerus, di sini, semalam.

Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak.

Sementara itu, Guru Besar Sk Mak Lagam, Siti Mariam Mat Zain sangat berterima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar kerana menganjurkan program demikian dan turut menyatakan perasaan teruja kerana telah diberikan anugerah tersebut.

"Ini merupakan satu penghormatan, ivovasi yang telah kami lakukan ialah mewujudkan ruang-ruang pemimpin-pemimpin Islam, karyawan Islam yang boleh diakses melalui kad khas dan lampu-lampu yang telah dicipta melalui sistem yang kita ada dan setiap murid yang berjaya menghasilkan sesuatu akan dapat bermain satu permainan iaitu membawa treler secara maya.

"Program ini kita libatkan semua murid, guru dan seluruh komuniti dengan mengadakan pembelian barang-barang kitar semula seperti botol plastik, pakaian terpakai, minyak terpakai, barang e-waste yang kemduiannya kita jual balik dan gunakan untuk membantu menjayakan setiap program ini dalam masa yang sama menanamkan semangat mencintai alam sekitar.

"Untuk peringkat kebangsaan nanti kami akan buat yang terbaik untuk berjaya menjadi johan pula di peringkat tertinggi itu nanti,"ujarnya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Unit Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Hashimi Ismail yang juga telah bertindak selaku ahli panel penilai menyatakan beberapa kriteria telah ditepati oleh dua sekolah berkenaan yang melayakkannya menerima anugerah lestari itu.

"Iaitu dinilai dari sudut aktiviti kurikulum dan Kokurikulum yang melibatkan guru, murid dan semua pihak sekolah iaitu melibatkan kegiatan di dalam kelas serta di luar bilik darjah, usaha penghijauan yang dilakukan serta terdapat beberapa elemen khas yang ditampilkan,"ujarnya.