• 19 Sept 2021 | 11 Safar 1443

DUAT Gigih Bentuk Wanita Terengganu Solehah

Foto : Media DUAT

KUALA TERENGGANU, 1 November – Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) komited untuk melahirkan golongan wanita negeri yang berakhlak solehah. 

Pegawai Seranta Unit Majlis Daie DUAT, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, hal itu boleh dibuktikan melalui siri-siri penganjuran program yang menjadikan kaum wanita sebagai golongan sasar utamanya.

“Program Bicara Minda Daie Wanita Terengganu yang dianjurkan di Dewan Imam Naafi' Masjid Al-Muktafi Billah Shah, baru-baru ini juga termasuk dalam agenda menjadikan wanita Terengganu berakhlak solehah.

“Program ini merupakan program khusus untuk para wanita yang menampilkan moderator dan panel dalam kalangan asatizah wanita dalam Terengganu iaitu Sumaiyah Zakaria, Noorzila Mohamad serta Nor Aqma Zulaikha Roslan.

“Walaupun program ini telah dilaksanakan dengan skala kecil demi mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun, ia tetap mencapai matlamatnya."ujarnya.

Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Menurut beliau lagi, antara tujuan utama penganjuran ialah untuk memberi ruang kepada para wanita di Terengganu menggilap ilmu dakwah semasa dan ilmu untuk menjadi wanita solehah.

“Di samping itu, kita juga mahu membina keyakinan para wanita untuk menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat terutamanya wanita.

“Kita juga bercita-cita untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai negeri model yang subur dengan majlis ilmu khususnya buat wanita,” katanya.

Ilhami turut melahirkan harapan agar para peserta  dapat mengamalkan ilmu yang telah dikongsikan dalam program tersebut dan sama-sama berusaha untuk menjadi wanita yang solehah.