• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan

HULU TERENGGANU, 10 Disember - Bermula sekadar hobi atau suka-suka bagi mengisi masa lapang, kini Mohd Azree Mohd Razali 40, dari Kampung Lubuk Periuk bergelar usahawan ternakan ikan kelah merah yang berjaya.

Pernah berkhidmat di  sektor perkilangan dan perkhidmatan perkomputeran di Melaka selama 12 tahun, usahawan akuakultur ini berkata pilihannya tidak menjadi sia-sia setelah memilih untuk pulang ke kampung dan seterusnya berjinak dalam bidang ini.

“Pada mulanya saya kembali ke kampung halaman untuk meneruskan hobi dan minat ayah mencari dan menjual spesis ikan kelah merah kepada pengusaha ikan hiasan atau untuk dijadikan hidangan mewah.

"Akan tetapi apabila saya melihat populasi ikan ini makin berkurangan akibat beberapa faktor terutama pencemaran sungai dan tangkapan berlebihan, saya mula terfikir untuk menternaknya secara serius,"ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui, baru-baru ini.


 

Justeru itu katanya, dia  mengambil keputusan memulakan perusahaan itu secara serius kira-kira tiga tahun lalu dengan modal serta bantuan kelengkapan hampir RM100,000 selepas menimba ilmu serta teknik pembiakan ikan kelah daripada pihak yang berpengalaman.


“Alhamdullilah projek saya ini mendapat sokongan dan peralatan daripada pihak Jabatan Perikanan seperti mesin pam air dan tangki yang bertujuan mengurangkan kadar kematian khususnya anak ikan yang memerlukan pengaliran air bersih semulajadi selain penjagaannya tersendiri," ujarnya.

Menurut Azree, dia cukup berterima kasih kepada Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) Negeri Sembilan yang banyak memberi banyak tunjuk ajar dan maklumat terkini sehingga ke hari ini.

Kini, dia memiliki empat kolah kecil serta tangki bersaiz sederhana yang di tambah baik ini juga digunakan untuk menampung sementara induk ikan terpilih ketika proses pengasingan dilaksana.

Tambahnya lagi, peminat peminat kebanyakannya suka membela dari kecil, dan jumlah permintaan sekarang mencecah sehingga 10,000 ekor sebulan. Jumlah induk yang ada sekarang ni aktif sekitar 300 ekor dan dijangka sehingga akhir tahun ni saya ada stok induk sehingga 500 ekor.

"Anak ikan berukuran sekitar tiga inci ini dijual dengan harga RM8 hingga RM9 seekor secara borong,"kata Azree. 

 


Sementara itu , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim  berkata, Azree merupakan satu satunya usahawan penternakan ikan kelah di daerah Ajil sentiasa konsisten serta komitted dalam perlaksanaan projeknya.

"Oleh sebab itu, kami di peringkat DUN Ajil melantik dia sebagai ikon belia bagi sektor Akuakultur dan Peladangan bagi memberi semangat pada belia lain menceburi bidang yang sama.

“Nasihat saya kepada belia ialah rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bayar balik jasa ibu bapa kita,” katanya yang meluangkan masa meninjau perkembangan ternakan ikan kelah tersebut.