"Dulu Tok Wan Jaga Saya, Sekarang Saya Jaga Tok Wan"

KEMAMAN, 21 Disember – “Dulu Tok Wan jaga saya masa kecil, sekarang saya pula jaga Tok Wan” ulas seorang mangsa banjir yang menjaga neneknya yang berkerusi roda di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chukai, Kemaman.

Seorang remaja berusia 19 tahun, Ahmadi Badarudin, berkata, dia sentiasa mendampingi dan membantu neneknya (Tok Wan) terutamanya semasa proses pemindahan ke PPS tersebut.

“Selain kami, ada juga bapa dan ibu saudara yang dipindahkan di sini juga, kira-kira 8 keluarga dari sanak saudara yang pindah sini” katanya ketika ditemubual pemberita.

Menemubual neneknya, Nor Zailan, 62, yang juga penghidap strok, berkata, cucunya (Ahmadi) seorang anak yatim yang dijaga sejak kecil lagi.

“Sekarang kami tinggal di Kampung Pengkalan Pandan, ini kali pertama kami pindah di sini (PPS) pada tahun ini, tahun sebelumnya juga pernah berpindah juga.

“Dengan adanya Ahmad, tidak risau sangat mak cik, anak-anak pun ada PPS sini selesa dengan kelengkapan yang cukup.

Tok Wan ditemubual semasa lawatan kerja bantuan Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di PPS SK Chukai.

Berdasarkan statistik laporan terkini bencana banjir negeri sehingga jam 12 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman seramai 1605 keluarga terdiri daripada 6964 mangsa yang kini ditempatkan ke 31 PPS di serata daerah.


Tag: