• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

e-AS Sekat Perkahwinan Sesama Keluarga Susuan

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Aplikasi e-Anak Susuan (e-AS) mampu menjadi penghalang daripada berlakunya perkahwinan tanpa sengaja sesama keluarga susuan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Dr Siti Fatimah Salleh berkata, Projek e-AS merupakan satu aplikasi telefon pintar mudah alih, mesra pengguna hasil penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA.

Penyelidikan tersebut melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertajuk: Pembinaan Model Pengurusan Pensijilan Dan Dokumentasi Anak Susuan Patuh Syariah.

“e-AS bermatlamat untuk mendokumentasi maklumat anak susuan, ibu bapa susuan, saudara susuan dan adik beradik ibu bapa susuan serta jaluran usul dan furu’, ekoran amalan pengambilan anak susuan.

“Aplikasi ini mampu memberi perlindungan kepada bayi susuan atas faktor kelahiran pra matang dan sebagainya dalam aspek pemeliharaan nyawa dan jaluran mahram susuan yang berlaku serta hubungan sosial.

“Di samping boleh memberi pendedahan dan pendidikan awal kepada masyarakat tentang anak susuan, serta pendedahan tentang kepentingan dan keperluan dokumentasi anak susuan,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Dr Siti Fatimah juga yakin bahawa e-AS dapat membantu menyelesaikan isu agama di peringkat Nasional dan Antarabangsa, isu komuniti muslim di seluruh dunia, isu perkahwinan sesama mahram, isu sosial yang melibatkan pergaulan, isu ibadat seperti wudhu’, aurat, mahram haji dan umrah, isu pengurusan dan pentadbiran, iaitu pelengkap dokumen permohonan haji dan umrah dan platform interaksi antara mahram susuan.

Menurut beliau lagi, e-AS akan diperkenalkan kepada Pejabat Agama Islam Negeri bagi tujuan pelaksanaan rasmi, secara menyeluruh di peringkat kebangsaan dan aplikasi ini adalah satu sistem yang mampu menyimpan maklumat yang didaftar oleh pengguna dan turut beroperasi untuk mencetak sijil anak susuan yang akan disahkan oleh pendaftar daerah di Pejabat Agama negeri.

“Melihat kepada kepelbagaian cara penyusuan dan penghasilan air susu ibu, serta faktor penyusuan, menuntut kepada pelaksanaan dokumentasi anak susuan secara rasmi dan terurus sama ada secara atas talian atau manual di peringkat negeri dan kebangsaan maka besar harapan kami bagi pihak penyelidik agar pihak kerajaan dapat membentuk satu akta atau kaedah dokumentasi anak susuan agar pelaksanaan secara menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Serta memberi perhatian terhadap pengetahuan masyarakat tentang implikasi penyusuan bayi lain. Saya juga berharap, melalui pembinaan aplikasi ini, ianya mampu memelihara kemurnian jaluran keturunan disebabkan penyusuan selaras dengan tuntutan maqasid syariah bagi menyelesaikan isu komuniti muslim terhadap amalan pengambilan anak susuan sama ada dalam dan luar negara,” ulasnya.

Baru-baru ini, telah berlangsung satu perbincangan bersama antara penyelidik dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor bagi memperhalusi cara penyediaan kaedah, Standard Operation Prosedur (SOP) Dokumentasi Anak Susuan Negeri Terengganu.


Tag: