lightning-solid
Berita :
ECRL Dijangka Lonjak KDNK Terengganu kepada RM48.2 Bilion
ECRL Dijangka Lonjak KDNK Terengganu kepada RM48.2 Bilion
Mastura Jamal Din
12 Nov 25
534

KUALA TERENGGANU, 12 November– Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memberi lonjakan besar kepada ekonomi Terengganu apabila ia mula beroperasi sepenuhnya, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri diunjurkan meningkat kepada RM48.2 bilion menjelang tahun 2040.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, menurut Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah (PeGTa) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilaksanakan oleh PlanMalaysia, peningkatan tersebut bersamaan dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sekitar 1.8 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu.

Menurutnya kajian berkenaan turut menjelaskan bahawa unjuran tersebut mengambil kira kesan langsung dan tidak langsung daripada aktiviti pembinaan serta operasi ECRL.

"Ia termasuk peningkatan pelaburan dalam sektor perindustrian dan logistik, perkembangan aktiviti perdagangan serta pelancongan, selain pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development, TOD) di kawasan sekitar stesen utama seperti Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai.

"Secara keseluruhannya, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu dijangka memperkukuh rangkaian pengangkutan serantau selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing ekonomi Terengganu dalam ekosistem pembangunan Pantai Timur," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau, TOD ialah satu konsep perancanganbandar yang menggabungkan pembangunan kawasan kediaman, komersialdan kemudahan awam di sekitar pusat pengangkutan awam seperti stesen
LRT, MRT, kereta api atau bas.

"Enam stesen penumpang ECRL di negeri Terengganu yang telah dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan TOD, pihak Malaysia Rail Link Sdn.Bhd. (MRL) sedang melaksanakan kajian komprehensif bagi mengenal pasti potensi pembangunan TOD di kawasan sekitar stesen-stesen tersebut," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan