• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda

KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Elaun atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 tetap dibayar seperti biasa meskipun acara dwi-tahunan yang sepatutnya berlangsung pada 2021 itu dibatalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kebajikan kepada altet sukan negeri ini.

Katanya, elaun bulanan berfasa kepada para atlet SUKMA diteruskan dengan perubahan minima akibat pertukaran tarikh baharu acara itu ke tahun hadapan.

“Fasa pertama melibatkan pembayaran elaun kepada penggiat sukan sebanyak RM130 sebulan, jumlah bagi fasa kedua juga sama manakala bagi seterusnya kita akan bayar sebanyak RM390 sebulan.

“Sehingga sekarang kita masih meneruskan bayaran elaun seperti biasa kepada warga sukan, jurulatih dan selebihnya yang terlibat. Namun kini kita kembali kepada fasa pertama dan akan mulakan fasa ketiga jika menghampiri tarikh pertandingan.

“Selain itu, Skim Penggiat Sukan sebanyak RM650 sebulan kepada atlet Terengganu berusia 18 tahun ke atas turut diwujudkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.

Tambah Wan Sukairi, Kerajaan Negeri melalui Badan Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga telah meluluskan Skim Khas Sukma 2022.

“Seperti sedia maklum, had umur atlet bagi SUKMA adalah tidak lebih daripada 21 tahun kebawah, namun begitu dengan berlaku tundaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk melonggarkan syarat tersebut.

“Peserta boleh berdaftar dalam acara yang akan diadakan di Johor Darul Takzim itu walaupun berumur dengan maksimum sehingga 23 tahun dan layak menerima skim tersebut.

“Jumlah elaun tersebut bergantung kepada pencapaian dan syarat ditetapkan, contohnya jumlah diberikan adalah RM650, namun jika dinilai, mereka layak menerima RM1,000,” katanya lagi.

Jelasnya, insentif kebajikan khas tersebut berperanan sebagai penyunting semangat dan persediaan dalam menghadapi acara sukan tahunan kebangsaan tersebut.