• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

EPIC Berhad Cakna, Bantu 120 Nelayan Ditimpa Musim Tengkujuh Dan PKP

KEMAMAN, 7 Februari – Seramai 120 orang golongan nelayan dibantu oleh Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad melalui anjuran “Program EPIC Cakna dan Prihatin Edisi Khas Nelayan 2021”, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan EPIC, Noor Tuah Jaafar memaklumkan, bantuan dalam bentuk wang tunai RM100 dan barangan keperluan asas bernilai sama telah difokuskan kepada golongan nelayan yang terjejas disebabkan oleh musim tengkujuh dan pandemiK COVID-19 yang semakin meningkat.

"Program ini adalah salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) EPIC untuk membantu rakyat Negeri Terengganu yang dikategorikan sebagai golongan miskin.

"Pada hari ini, pelaksanaan program telah berjaya dijalankan dengan lancar dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dan Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd.

"Sumbangan telah disampaikan secara pandu lalu bagi mematuhi kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Menurut Noor Tuah, EPIC sentiasa bersedia untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan.

"Diharapkan bantuan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban hidup mereka," jelasnya.

Untuk pengetahuan, EPIC Berhad merupakan sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu yang menjalankan perkhidmatan sokongan utama kepada industri minyak dan gas, pelabuhan, tenaga serta perkhidmatan sampingan yang lain.