Berita :
FAMA Aktifkan PMBF Atasi Lambakan Durian
FAMA Aktifkan PMBF Atasi Lambakan Durian
Mohd Irsyadi Abu Bakar
13 jam yang lepas
219

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengaktifkan Pusat Memproses Buah FAMA (PMBF) di Pusat Operasi FAMA Besut bagi menyerap lebihan bekalan durian untuk diproses menjadi pes durian, bermula 22 Jun lalu.

Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, pusat yang berupaya memproses antara satu hingga 1.5 metrik tan sehari mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang mematuhi standard 'Good Manufacturing Practice (GMP) itu merupakan salah satu daripada Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-buahan Bermusim Tahun 2026 sebagai usaha memastikan hasil pengeluaran durian dapat dipasarkan dengan lebih terancang dalam menangani isu lebihan bekalan.

"Insya-Allah, kita akan tingkatkan setiap satu hari (pemprosesan) lebih kurang tiga metrik tan. 

"Untuk pusat ini, kita akan proses durian menjadi pes dan kita akan letakkan di Pusat FAMA Jerantut sebagai pusat pengedaran, berikutan permintaan yang tinggi di sana," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengeluaran durian di Terengganu tidak berlaku lambakan hasil pengeluaran.

"Tetapi apabila pengeluaran negeri lain terlalu banyak, ia melimpah ke negeri Terengganu menyebabkan harga sedikit jatuh. 

"Keadaan ini saya rasa kalau buah-buah bermusim biasanya lebih kurang satu bulan tempohnya," katanya.

Setakat ini, pusat PMBF Besut dapat menyimpan stok pes sebanyak 16 metrik tan pada satu-satu masa, bagaimanapun dijangka proses pada musim ini mampu mencecah sehingga 100 metrik tan.

Beliau menambah, FAMA juga telah mengambil banyak pendekatan bagi mengatasi masalah tersebut antaranya dengan membuka outlet pasar tani dan peruncitan yang membolehkan pengusaha menjual terus kepada pengguna.

"Melalui FAMA sendiri, kita mengadakan jualan langsung kepada pengguna dengan harga menarik di dua pusat operasi iaitu di Chendering dan di Besut (proses).

"Di outlet pasar-pasar tani, kita ada lebih kurang 11 outlet yang kita beri ruang pasaran kepada usahawan-usahawan FAMA memasarkan hasil mereka," ujarnya.

Pusat Operasi di Chendering mengadakan jualan langsung bermula hari ini sehingga esok dengan membawa pelbagai jenis buah-buahan bermusim iaitu durian, rambutan, jagung manis dan manggis.

Jualan ini berlangsung di perkarangan pusat operasi dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam dengan tawaran harga menarik.





Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan