• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Gabungan Agama Dan Teknologi, Cara Dakwah Alaf Baharu

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Paduan antara bidang agama dan bidang teknologi serta multimedia menjadi platform saluran dakwah dalam dunia tanpa sempadan hari ini.

Pengerusi Kelab Penggiat Media Sosial Wanita Inspirasi Terengganu (MASWIN), Daing Siti Norbaity Abdul Latif berkata, satu lawatan kunjung balas ke Studio al-Quran Universiti Malaysia  Terengganu (UMT) telah diadakan, baru-baru ini.

Katanya lagi, kunjung balas itu diadakan sebagai balasan hormat kepada pihak rombongan dari Studio al-Quran UMT yang telah hadir ke Wisma Darul Iman (WDI) sebelum ini.

Norbaity.

“Beberapa bulan lepas mereka adakan kunjung hormat untuk bertemu Yang Berhormat (YB) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita di WDI. Jadi kali ini, YB ADUN Wanita mengadakan kunjung hormat kembali.

“Dan memandangkan MASWIN dan juga Kelab Media Baru Negeri Terengganu (NewMed) merupakan rakan kerjasama strategik Pejabat ADUN Wanita, maka kami dipelawa untuk menyertai delegasi ke Studio al-Quran.

“Objektif kita ialah untuk melihat Studio al-Quran UMT dan mengadakan diskusi tentang apakah kerjasama yang boleh dijalinkan bersama studio ini untuk manfaat komuniti.”ujarnya.

Norbaity berkata demikian ketika dihubungi oleh Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Beliau berharap kerjasama akan terlaksana demi manfaat kepada masyarakat di samping berpeluang untuk memartabatkan al-Quran di bumi Darul Iman.

“Di akhir lawatan, kami dapat melihat dan meneliti program yang boleh dijalankan secara kerjasama oleh kedua-dua belah pihak, berdasarkan kepakaran masing-masing.

“Dan alhamdulillah, kita juga dapat mengenalpasti bagaimana bentuk kerjasama yang bakal dijalankan nanti dan pastinya ia bermanfaat untuk komuniti dan pelajar,”tambahnya.

Zuraida berkongsi idea dan pendapat.

Dalam pada itu, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor juga dilihat optimis untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Studio al-Quran.

“Mungkin kita kena adakan beberapa siri lagi perjumpaan susulan untuk membincangkan kerjasama secara terperinci dan tersusun.

“Dan insya-Allah, jika tiada halangan kita akan usahakan untuk memastikan kerjasama ini berjaya dan memberi kebaikan kepada pihak kerajaan negeri , rakan kolaborasi dan pastinya kepada rakyat,”ulasnya.

Para peserta Kunjung Balas ke Studio al-Quran UMT.

Tag: