• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah

KUALA TERENGGANU, 4 Januari- Anak kelahiran Terengganu, Siti Nur Alia Mansor muncul atlet wanita Malaysia pertama menyertai pasukan berbasikal berstatus pro di Eropah.

Nur Alia, 21, dipilih pasukan kelima terbaik UCI Women's World Tour, Canyon-SRAM Road Bicycle Racing Team yang berpangkalan di Catalonia, Sepanyol bagi saingan musim ini dengan kontrak setahun.

"Alia rasa bangga sebab dapat peluang ini, sebelum ini dengan CIMB pro-cycling team (permubaan trek). Ini menjadi peluang terbesar Alia dalam perlumbaan lebuh raya dan ini peluang untuk buktikan pada negara dan Terengganu.

"Bekas jurulatih TSG, Adam Szabo yang hubungi Alia pada Jun tahun lalu menawarkan untuk sertai pasukan ini. Dia kini menguruskan pasukan wanita untuk UCI ini dan akan menjadi jurulatih Alia dalam pasukan musim ini," katanya yang mengambil masa sekitar dua bulan untuk menyatakan persetujuan.

Belilau berkata demikian selepas menerima insentif penghargaan berjumlah RM3,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman, hari ini.

Adik bongsu kepada atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor itu telah pun menceburi sukan berbasikal semenjak usia 11 tahun dan mewakili Terengganu sejak 2016.

Jelasnya, jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan yang telah 'menjaga'nya sejak berumur 11 tahun dan memberikan banyak ilmu sehingga dirinya mencapai ke tahap tersebut.

"Bagi Alia, dekat Malaysia kita berlumba dengan sesama kita jadi, di sana mental Alia perlu lebih kuat. Alia akan buat yang terbaik dan harap pemergian Alia akan buka peluang untuk 'rider-rider' lain dari Malaysia," katanya.