• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Gengster 'Cuci Tangan' Selepas Masuk Islam

KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Memasuki gerbang tahun 2021 setiap individu memasang azam dengan semangat baharu termasuk bekas gengster, Muhammad Danial Vanathiah yang telah membina hidup bersama gadis pilihan.

Muhammad Danial, 30 semalam telah selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihannya Nur Hamidah Abdullah, 26, di Masjid Al-Hijrah, Flat PPR Padang Hiliran di sini semalam.

Muhammad Danial yang sudah 'cuci tangan' daripada kerja-kerja gengster memilih untuk memeluk Islam pada pertengahan 2018 dan membuat keputusan untuk berhijrah ke Terengganu.

"Semoga perkahwinan ini  dapat membuka lembaran baharu dalam hidup saya dan isteri. Terima kasih kepada Unit Dakwah Saudara Kita Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang banyak membantu sejak dari awal saya memeluk Islam," ujarnya kepada UPDI.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed yang turut hadir menyifatkan peristiwa itu penuh bersejarah bagi kedua mempelai terbabit.

"Saya mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan ini dan setinggi tahniah buat semua yang membantu terutamanya pihak Dakwah Saudara Kita MAIDAM yang begitu cakna dengan kebajikan mereka," katanya.

Sementara itu, jurucakap Unit Dakwah Saudara Kita MAIDAM, Muhammad Syafiq Suresh menjelaskan bahawa lelaki mualaf yang bekerja sebagai mekanik itu juga layak menerima Bantuan Perkahwinan Mualaf sebanyak RM2,000.

“Bantuan tersebut adalah untuk membantu golongan mualaf bagi membina permulaan kehidupan baharu di alam perkahwinan,” jelasnya.


Tag: