• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Gol Tunggal Luqman Bawa Tok Saboh FC Bergelar Juara

BESUT, 19 Jun- Pasukan Bola Sepak Tok Saboh FC muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 2022 selepas menewaskan Sri Nail FC di Padang Bola Sepak Astaka Kampung Pachakan, Kuala Besut, di sini semalam.

Mohd Luqman Abdullah mencetak nama sebagai penjaring tunggal sekaligus membawa pasukannya bergelar sebagai juara dengan keputusan 1-0.

Gol yang dijaringkan Mohd Luqman pada babak separuh masa kedua perlawanan menjadikannya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan edisi ini.

Kemenangan itu membolehkan Tok Saboh FC membawa pulang wang tunai sejumlah RM1,500, piala dan pingat manakala Sri Nail FC selaku naib juara turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000 berserta pingat.

Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh turut hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Beliau berkata kejohanan sukan seperti itu sangat bagus bagi menarik minat golongan anak muda menerapkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Kejohanan seumpama ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturrahim di antara anak muda serta masyarakat setempat.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri akan sentiasa menyokong aktiviti sebegini bagi mengelakkan anak muda daripada terjerumus dalam aktiviti yang tidak berfaedah,” ujarnya dalam majlis penutup.

Sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang bermula pada 17 Jun dan berakhir pada 18 Jun.