• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Golden Pharos Catat Prestasi Kewangan Tertinggi Sejak 1993

KUALA TERENGGANU, 29 Februari – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Golden Pharos Berhad (GPB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM29.25 juta (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023),  berbanding RM15.02 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Zaki Hamzah berkata PBT yang dicatatkan bagi TK2023 adalah yang tertinggi bagi Kumpulan sejak GPB disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1993.

Menurut beliau, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hasil Kumpulan berkembang sebanyak 28 peratus kepada RM89.67 juta daripada RM69.81 juta pada tahun kewangan sebelumnya, tertinggi selepas 2014.

"Kami gembira untuk melaporkan keputusan kewangan yang begitu kukuh untuk TK2023.

"Justeru itu, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dan membayar dividen interim berjumlah 4.6 sen sesaham kepada para pemegang saham untuk FY2023 baru-baru ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Kumpulan juga menjalankan pelbagai inisiatif strategik dalam meningkatkan tadbir urus korporat dan kecekapan operasi.

"Antaranya mengukuhkan proses membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan yang berkesan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingannya.

“Melangkah ke hadapan, Kumpulan akan meneruskan komitmennya dalam memastikan Kumpulan mencapai keputusan positif dengan tumpuan yang mendalam terhadap beberapa pemacu utama dalam aktiviti pembalakan dan penuaian huluannya, pengilangan papan tengahnya, kayu hiliran dan operasi kacanya," ujarnya.