Jalur Gemilang
Berita :
Guru Al-Quran, Imam dan Bilal Perlu Diperkasa – Rosol
Guru Al-Quran, Imam dan Bilal Perlu Diperkasa – Rosol
Muhammad Aqil Mat Ali
14 jam yang lepas
136

HULU TERENGGANU, 21 September – Penubuhan Akademi Imam dan Bilal dicadangkan bagi melahirkan lebih ramai imam dan bilal, khususnya dengan memanfaatkan potensi anak-anak pondok untuk dibimbing dalam bidang berkenaan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid berkata, usaha itu penting bagi memastikan keperluan imam dan bilal di masjid serta surau dapat dipenuhi.

“Kita ramai anak pondok yang boleh dibimbing untuk menjadi imam dan bilal,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Hulu Terengganu Tahun 1448H/2026M di Masjid Kampung Bukit Perah, Ajil, malam tadi.

Beliau turut menggesa usaha memperbanyakkan guru serta tempat pengajian al-Quran susulan pemerhatiannya bahawa guru al-Quran di kampung semakin berkurangan berbanding dahulu.

Menurutnya, penghayatan al-Quran tidak seharusnya terhad kepada membaca, sebaliknya perlu disusuli dengan usaha memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan.

“Kehebatan al-Quran bukan pada banyaknya bacaan, tetapi sejauh mana kita memahami dan mengamalkannya,” katanya.
Dalam majlis sama, Sadiq Mudrikah dari Kampung Baru, Ajil dinobatkan sebagai Johan Qari, manakala Umi Kalsom dari Kuala Telemong muncul Johan Qariah. 

Rosol turut merakamkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta serta berharap program itu terus memperkukuh syiar Islam dan mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan