• 26 Okt 2020 | 9 Rabiul Awal 1442

Guru Di Bukit Payong Terima Barangan Keperluan

Oleh: Mohd Fakhrullah Mohamad

MARANG, 17 Mei - Barangan keperluan dapur bukan sahaja diagihkan kepada  masyarakat setempat yang memerlukan malah turut diagihkan kepada 77 guru terpilih  yang berkhidmat di kawasan Bukit Payong.

Agihan berupa beras, minyak, gandum, susu, gula, kurma dan sehelai kain tuala kepada 44 guru Tabika Kemas, 28 guru Tadika Yayasan Islam dan lima guru Taska Permata itu sempena sambutan Hari Guru semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dan melihat setiap kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang terjejas termasuk guru yang berkhidmat di Bukit Payong.

"Bersempena juga dengan hari guru yang baru sahaja diraikan semalam, 16 Mei, jadi kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada semua staf dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payung yang turut serta membantu dalam menyalurkan sumbangan terbabit.


Tag: