• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Haji Azbi Galak Belia Bersukan


 
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh bersama belia.
Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 18 Februari - Pemuda di Kuala Besut digalakkan untuk sentiasa beriadah bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan dan tidak membazirkan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, belia merupakan aset negara yang sangat penting yang perlu dijaga sebaik mungkin.

Jelasnya, setiap belia mesti mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah seperti bersukan.

"Saya sebagai Pegawai Penyelaras DUN Kuala akan memberi sokongan sepenuhnya kepada belia di DUN Kuala Besut supaya melibatkan diri dengan sukan.

"Saya mahukan belia di DUN Kuala Besut sentiasa sihat dengan mengeluarkan peluh pada waktu petang dan bukannya sekadar bermain dengan gajet masing-masing," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu mata dengan belia di DUN Kuala Besut selepas menyerahkan bola futsal, bola jaring dan bola takraw untuk kegunaan di kawasan itu.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pengkalan Sentul, Mohd Daud.
 
Belia tidak melepaskan peluang bersama Haji Azbi Salleh.
Haji Azbi meluangkan masa bertemu dengan belia bagi bertanya khabar dan masalah yang dihadapi oleh belia di sekitar Kuala Besut.

Untuk rekod, golongan belia merupakan golongan yang paling ramai terlibat dengan masalah gejala sosial seperti penagihan dadah.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dari 2014 hingga 2018, belia yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun mencatatkan bilangan penagih paling ramai iaitu sebanyak 80,598 orang atau 73.4% diikuti golongan dewasa (40 tahun dan ke atas) seramai 26,197 orang atau 23.9%.


Tag: