KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Kes pertama melibatkan Seksyen 29A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang baru dipinda pada 2022 telah direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menandakan langkah tegas kerajaan negeri dalam menjaga maslahah keturunan dan kehormatan nasab.
Seorang lelaki berusia 22 tahun dan pasangannya, 20 tahun, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Nazri Yusof atas kesalahan berkaitan hamil dan melahirkan anak luar nikah.
Tertuduh wanita didakwa di bawah Seksyen 29A(1) kerana melahirkan anak luar nikah pada Ogos tahun lalu, manakala tertuduh lelaki didakwa di bawah Seksyen 29A(2) kerana menyebabkan seorang perempuan melahirkan anak luar nikah berdasarkan hasil ujian DNA.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz memaklumkan, tertuduh wanita telah membayar denda RM2,300, manakala tertuduh lelaki dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman penjara selama 3 bulan kerana gagal melunaskan denda yang dikenakan.
“Kesalahan ini amat berat kerana bercanggah dengan Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga keturunan (hifz al-nasab). Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada pelbagai implikasi dalam isu pewalian, faraid dan keturunan,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini bukan sekadar hukuman, tetapi sebahagian daripada usaha pendidikan dan pencegahan yang dilaksanakan.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak remaja agar tidak terjebak dengan kesalahan ini. Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan juga telah melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi membendung gejala ini sebelum ia berlaku,” ujarnya lagi.
Dengan pelaksanaan pindaan ini, Terengganu menghantar mesej jelas bahawa isu menjaga maruah dan nasab bukan sekadar tanggungjawab peribadi, tetapi agenda penting dalam membina masyarakat yang bermoral dan berdisiplin.