KUALA TERENGGANU, 19 Mei- Hampir sejam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengejar dua kapal nelayan asing Vetnam yang menceroboh perairan Terengganu, malam Khamis lalu sebelum berjaya menahannya di kedudukan 155 batu nautika timur muara Kuala Terengganu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Terengganu, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar berkata, kedua-dua bot berkenaan berjaya ditunda ke pejabat Maritim Negeri Terengganu dan tiba sekitar jam 10.00 pagi semalam.
Menurutnya, pada kejadian tersebut KM Pekan yang meronda dalam siri Op Naga Barat, berjaya menahan 12 awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua mereka adalah dalam lingkungan usia 19- 50 tahun dan mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963.
"Berdasarkan penilaian, rampasan keseluruhan termasuk kedua-dua bot, hasil laut, peralatan dan diesel dianggarkan bernilai RM3 juta.
"Sebagai makluman untuk tahun ini, ini adalah tangkapan ke-10 membabitkan pencerobohan nelayan asing oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran rampasan bernilai RM10 juta," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini.
Tambahnya, musim sotong yang bermula April hingga Ogos menarik minat nelayan asing dengan peningkatan kes pencerobohan direkodkan berbanding bulan-bulan lain.
Oleh itu, menurutnya Maritim Negeri Terengganu akan terus meningkatkan operasi bagi membanteras kemasukan bot-bot nelayan asing di perairan negara khususnya Terengganu.