• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Hancock Juara Keseluruhan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2017

Hancock muncul pelumba terpantas bagi kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2017. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.

Perenang dari Australia, Dean Hancock menewaskan perenang yang pernah mencipta masa terpantas dalam Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang, Benjamin Konscak dari Jerman sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan dalam kejohanan tersebut.

Dalam perlumbaan sejauh 6.5 kilometer yang bermula dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut tersebut, Hancock, 48, menewaskan peserta-peserta lain apabila berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 34 minit dan 10 saat.

Hancock yang ditemui berkata, penyertaannya kali ketiga pada tahun ini memberi tuah apabila berjaya muncul sebagai juara keseluruhan selain memenangi bagi kategori lelaki 47 tahun dan ke atas.

“Catatan masa yang saya perolehi pada hari ini merupakan yang terbaik pernah saya lakukan walaupun ianya agak mencabar.

“Pada permulaan perlumbaan ianya cukup sukar untuk melawan arus ombak namun saya harunginya kemudian di pertengahan arus kembali tenang dan di pengakhiran sedikit mudah apabila ditolak oleh arus untuk sampai ke pesisir pantai,” katanya.


Dengan kemenangan tersebut Hancock membawa pulang wang tunai berjumlah RM500, piala kejohanan dan medal manakala bagi kategori lelaki 47 tahun dan ke atas pula Hancock membawa pulang RM1,200.

Bagi kategori wanita 35 tahun dan ke atas, Alexandra Evens yang juga dari Australia muncul sebagai juara dengan catatan masa 1:48:10 saat.

Manakala peserta dari United Kingdom, Andrew Tebbutt pula memenangi acara bagi lelaki 30-46 tahun dengan masa 1:39:20s.

Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.

Dalam kejohanan yang bermula pada jam 8.00 pagi tadi, seramai 400 peserta melibatkan 26 buah negara  berentap bagi memenangi gelaran juara bagi acara yang memasuki edisi ke-18.

Tag: