DUNGUN, 2 Januari - "Sayu melihat keadaan rumah mangsa banjir bersalut lumpur, lahir rasa keinginan untuk membersihkannya sebanyak mungkin tetapi apakan daya hasrat tidak kesampaian," luah sukarelawan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Jabatan Amal DUN Rantau Abang yang menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir ke Pahang baru-baru ini.

Pembantu Operasi I-MiTS, Utbah Hassan berkata, dalam sehari kumpulannya hanya mampu membersihkan tiga buah rumah kerana lumpur yang tebal dan tekanan air yang perlahan. 

"Memandangkan rumah-rumah yang kami ditugaskan adalah rumah warga emas yang sakit memang mereka tidak dapat buat apa-apa, memang mengharap kepada kami 100 peratus. 

"Jadi sebelum kami lakukan kerja-kerja mencuci rumah, kami keluarkan dulu barang-barang yang ada dalam rumah, kami akan tanya dulu tuan rumah, barang mana perlu dibersihkan dan perlu dibuang," katanya yang juga Timbalan Ketua JAM DUN Rantau Abang. 

Beliau menyertai dua misi yang diadakan pada 23 hingga 25 di Kuantan dan 28 hingga 30 Disember di Mentakab. 

Manakala Penolong Penyelia IMITS DUN itu, Roshaili Ramli berkata semasa mereka tiba keadaan rumah mangsa banjir, bau lumpur amat kuat. 

"Memang barangan semua diselaputi dengan lumpur, pingan mangkuk semua sudah seminggu berendam dalam lumpur, kita akan cuci semua. 

"Boleh dikatakan seolah-olah untuk memulakan kehidupan seharian dengan permulaan baru, dari segi perabot, pakaian, peralatan elektrik dan semuanya, kebanyakkan tidak boleh digunakan," jelasnya.


Tag: