• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Ahli politik diseru supaya mentaati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, titah baginda bertepatan dengan keadaan semasa negara yang sedang berperang menentang wabak COVID-19.

Menurut Zuraida lagi, seruan ‘no politicking’ (meninggalkan permainan politik) wajar disahut oleh semua ahli politik tanpa mengira parti atau blok, sebaliknya bersatu sebagai satu bangsa dengan tujuan serta matlamat yang satu iaitu membebaskan negara daripada kemelut virus tersebut.

“Kita diseru untuk meninggalkan ‘politicking’ yang berlebihan, sebaliknya menumpukan segenap usaha bersama rakyat Malaysia untuk melawan wabak COVID-19.

“Ingatlah barisan hadapan yang sedang mengorbankan masa-masa senang mereka bersama keluarga demi untuk negara, serta rakyat yang terhimpit desakan ekonomi kerana pandemik ini.

“Semoga Allah mengurniakan bantuan dan petunjuk-Nya kepada kita,” ujarnya ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Pusat mengingatkan bahawa aulawiyat (keutamaan) bagi Malaysia ialah memastikan negara pulih sepenuhnya, baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi, maka perkara yang tidak berkaitan perlu diketepikan buat masa sekarang.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah, mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu-gugat kestabilan pemerintahan negara termasuklah sebarang tindakan tidak bertanggungjawab, yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan yang sedia ada.

Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan, adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan terutamanya oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.